BAB 3
“Dialah Tuhan yang
menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka
makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang
langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.”-Al-Fath:4
“BISMILLAH…”
lafaz itu sayup-sayup meluncur di bibirnya. Tubuh Hannah Farhana yang berada di
dalam dukungannya perlahan-lahan dibaringkan di atas katil. Ubun-ubun anak
kecil itu diusap-usapnya lalu diberikan ciuman lembut. Wajah suci yang sedang
lena benar itu diamati penuh perhatian. Ada senyuman kecil terukir di bibir
lelaki itu, mengamati wajah zuriatnya yang selalu menjadi penawar kepada hati
yang lara.
Tup…
tup… tup…
Perlahan
saja bunyi ketukan pada pintu biliknya. Namun sudah cukup kedengaran di corong
telinganya. Harraz segera turun dari katil. Langkahnya diatur kemas menuju ke
muka pintu. “Mama.”
Wajah
Datin Laila kosong. Tidak menunjukkan apa-apa reaksi, namun bagi Harraz, di
sebalik wajah kosong itu, ada seribu satu ketidakpuasan yang menebal di dalam
hati wanita itu. Datin Laila melepaskan keluhan panjang lalu memeluk tubuh.
Matanya tertinjau-tinjau ke dalam bilik anak lelakinya itu, bagai ada sesuatu
yang menarik perhatiannya. “Dah tidur ke anak kau tu?”
Kening
Harraz bertaut satu. “Sudah, ma.”
Datin
Laila merengus pula. Wajah anak lelakinya itu dipandang dengan pandangan yang
sukar untuk difahami maksudnya. “Turun bawah sekejap. Mama nak cakap sikit.”
Harraz
diam. Dia tidak bereaksi menerima arahan itu. Namun debaran di dalam hatinya
hanya ALLAH saja yang tahu! mama memanggilnya? apa lagilah yang hendak
dibicarakan? sungguh persoalan-persoalan itu cukup menghantui benaknya kini.
Segala kemungkin mula terbayang-bayang di ruang minda.
Datin
Laila juga tidak bereaksi, terus saja berlalu menuju ke tingkat bawah, Harraz
hanya memerhati langkah wanita separuh umur itu. Hannah Farhana yang sedang
lena di atas katil sempat diperhatinya sebelum pintu bilik itu ditutupnya lalu
menuju ke tingkat bawah.
Tiba
di separuh anak tangga, langkah Harraz terpaku di situ. Melihat wanita separuh
umur itu sudah duduk bersedia menunggunya di sofa, hatinya mula kecut. Entah
kenapa kemungkinan-kemungkinan buruk pula yang terbayang-bayang di mindanya.
Lafaz basmalah terucap perlahan di bibirnya, mengharapkan pertolongan ALLAH
untuk membawanya keluar dari perasaan yang tidak menentu ini.
Langkahnya
diteruskan, hinggalah tubuhnya hanya semeter dari wanita itu. “Ma.”
Datin
Laila mengangkat muka. Lama diperhatinya wajah gelisah anak lelakinya itu.
“Duduklah. Kau nak berdiri aje ke?” bagai lelaki itu anak kecil pula dia
mengarah.
Harraz
mengetap bibir. Tidak banyak kata, dia akur saja. Punggungnya dihenyakkan di salah sebuah sofa
di ruang tamu itu, bertentangan dengan mamanya. Namun wajah tua itu langsung
tidak dipandangnya. Dia lebih rela menghunjam pandangannya ke bawah daripada
mengamati wajah yang kelat itu.
Datin
Laila menggeleng-geleng kepala. Bertambah kerut mukanya. “Look at me, Raz! I’m talking to you!”
Harraz
mengangkat muka.
Datin
Laila mengeluh panjang. Tubuhnya disandarkan pada badan sofa empuk itu semula.
Wajah tidak bermaya anak lelakinya itu dimamah dengan pandangan tajamnya. “I want you to get married.”
Harraz
mengerutkan dahi. “I’m already married,
ma.”
“Raz,
perempuan tu dah mati! stop being
nonsense!” telapak tangan Datin Laila terhempuk juga pada meja kopi yang
memisahkan kedudukannya dengan lelaki itu.
Harraz
tersentak. Namun, dia tetap meraut wajah tenang. Tidak mahu menambah ketegangan
yang mula tercetus. “Raz belum bersedia.”
“Oh,
sekarang baru kau nak cakap pasal kesediaan? I think it’s too late, Raz.
Kau dah beranak-pinak baru nak cakap macam ni?” persoal Datin Laila, keras
bunyinya.
“Raz
cakap betul, ma. Raz belum bersedia. Raz nak tumpukan pada Ana dulu. Raz nak
tengok Ana membesar sebaik mungkin. Lagipun Raz masih belum boleh lupakan
Hafizah.” Terus-terang lelaki itu akhirnya, mencamurkan segala apa yang
membengkak di jiwanya. Walaupun dia sudah dapat melihat kejujurannya itu hanya
lebih mengundang kepanasan hati wanita di hadapannya ini.
“What? that woman again? Raz, dia dah
mati! dah tak wujud! buat apa kau nak ingat orang yang dah mati? heiii… apalah
agaknya perempuan tu dah sihirkan kau?” Datin Laila menggerutu geram. Puas
hatinya!
Harraz
kaku. Terkedu, terkesima dengan kata-kata itu. Juga… tersentap! ya, jiwanya
tersentap benar mendengar apa yang terhambur dari mulut mamanya itu. Tegarnya
mama berkata begitu? tidakkah dia terfikir apa perasaan anaknya ini saat
kata-kata yang agak berbaur penghinaan itu meluncur bak angin menderu di
bibirnya? “Ma, sanggup mama tuduh Hafizah macam tu?”
“Yalah!
pasal dialah kau jadi macam ni! tak ubah macam orang gila! pasal bapak dialah,
anak aku mati! memang keluarga jahanam! heiii… aku tak tahulah macam mana aku
boleh lepaskan kau kahwin dengan perempuan macam tu?” Datin Laila terus
menghambur nanah yang sudah membengkak di dalam jiwanya. Dia tidak peduli
apa-apa lagi, termasuk perasaan lelaki yang kini hanya menahan hiba dan luka di
sudut hatinya yang paling dalam itu… hanya menunggu masa untuk pecah dan
berdarah saja.
Tubuh
Muhammad Harraz bergetar lebih hebat kini. Seupaya boleh dia cuba mengawal
perasaan yang entah apa rasanya kini. Tiada kata yang terluah di bibirnya lagi.
Kata-kata Datin Laila bagai pedang yang sudah membelah isi hatinya menjadi
serpihan-serpihan kecil yang berderai ke tanah. Sedikit sebanyak juga, ada
cecair yang mahu mengiringi deraian hatinya itu namun… dia tetap bertahan.
Tidak akan dibiarkan air mata ini tumpah lagi. Cukuplah!
Ya
ALLAH, aku betul-betul lemah kini… kuatkan jiwa hamba-MU ini menghadapi qada’
dan qadar-Mu!
“Aku
tak peduli. Kali ni kau mesti ikut kata aku.” Datin Laila membuat keputusan
sendiri akhirnya. Sungguh, dia tidak peduli akan apa-apa lagi!
Harraz
tunduk semula. Tubuhnya lemah serta-merta… tiada daya lagi yang bersisa.
‘Maafkan
abang, Hafizah.’
DI
atas hamparan itu, dia memohon, merintih dan mengadu. Sayup-sayup suara
cengkerik yang membingitkan suasana malam melintas di pendengaran, namun tidak
dihiraukan. Dia terus tenggelam… tenggelam dalam hembusan kasih-NYA. Ya, dia
merasakan itu.
“Dialah Tuhan yang
menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka
makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit
dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.”-Al Fath:4
Jiwa
yang berkecai terasa bersatu kembali. Zikrullah lantas bermain di bibirnya.
Acap kali juga dia beristighfar. Mengenangkan segala dosa… ya ALLAH,
ampunkanlah!
Dia
tahu dosanya menggunung. Dia terima sekiranya apa yang menimpanya tika ini
adalah kafarah untuk membersihkan semula jiwanya daripada dosa-dosa itu. Dia
redha jika inilah tanda DIA menunjukkan cinta-NYA. Namun… dia juga tidak boleh
menipu bahawa diri ini masih lemah! kerana itu dia berteleku di atas hamparan
ini. Dia mahu terus mengadu dan mengadu kepada penciptanya. Walaupun rasa malu
itu sungguh menghantui…
Subhanallah…
Alhamdulillah… allahuakbar!
Bibirnya
terus basah bak pita rakaman. Dia tidak mahu walau sesaat terhijab dari TUHAN-nya.
Cukuplah dunia memperlakukannya sebegini… tetapi jika DIA juga sudah
memalingkan cinta-NYA darinya, sememangnya dia adalah insan yang paling malang.
Ya ALLAH, jangan!
Harraz
menekup wajah. Titikan hening yang turut mengiringi munajatnya pada malam itu
diseka dengan hujung jari. Bibirnya masih betah dengan ingatan memuji TUHAN-nya.
Sesekali pandangannya terlepas kepada anak kecil yang sedang lena melayan mimpi
di atas katil itu.
Hannah
Farhana… maafkan abi, nak. Maafkan abi kerana tidak mampu memenuhi sepenuhnya
ruang kebahagiaan dalam dirimu. Abi tak mampu melawan takdir yang MAHA PENCIPTA.
Namun abi percaya, kebahagiaanmu akan juga dipenuhi suatu hari nanti, oleh PENCIPTA-mu
sendiri. Teruslah bergantung kepada-NYA, nak. Kerana DIA tidak akan pernah
mengecewakanmu…
Farah
Hafizah… ya ALLAH! kehadiran wanita itu bagai sinar yang menghapuskan kegelapan
di dalam ruang lingkup hidupnya. Walau apapun yang terhambur dari mulut orang
tuanya tentang wanita itu, dia tidak peduli. Baginya, Farah Hafizah adalah
perantara pilihan ALLAH untuk dia menemui jalan cahaya kembali… maafkan abang
jika kebahagiaan itu tidak juga sempat diberikan kepadamu. Abang yakin,
kebahagiaan kurniaan-NYA pasti lebih membawamu kepada kesempurnaan yang hakiki.
Nikmatilah kebahagiaan hakiki itu, sayang…
Selesai.
Baki-baki air mata yang mengalir tidak dikesat lagi. Biarlah air mata ini
menjadi pemadam api neraka yang bakal menghambat tubuhnya nanti. Tidak dapat
dibayangkan saat itu… subhanallah!
Sedikit-sebanyak,
keletihan itu bertandang juga ke urat nadi dan membawa ke sepasang matanya.
Harraz menguap kecil. Sepertinya dia akan rebah lagi selepas ini. Memang patut
pun kerana jam baru menunjukkan angka empat… suasana masih kelam.
Manusia-manusia pun masih terlena dalam buaian mimpi.
Katilnya
dihampiri. Perlahan-lahan tubuhnya dibaringkan semula di atas tilam empuk itu.
Alhamdulillah… dia masih mampu tidur beralaskan tilam yang bukan calang-calang
harganya. Masih ramai lagi manusia yang hendak menyuapkan nasi ke mulut pun
tidak mampu!
Patutkah
dia tidak mensyukuri akan semua ini?
Sebelum
terkatup matanya, sempat pandangannya dilemparkan sedalam-dalamnya ke arah
wajah comel yang sedang nyenyak di sebelahnya itu. Wajah itu cukup mendamaikan
lara hatinya. Melihat wajah itu juga, dadanya terasa lapang bagai tiada pernah
masalah yang datang bertandang. Diusap-usapnya kepala Hannah Farhana, zuriatnya
yang satu-satunya itu. Sesekali bibirnya meleret ke tepi melihat gaya anak
kecil itu menikmati lenanya. Sesekali juga bila Hannah Farhana menggeliat,
ditepuk-tepuknya lembut tubuh kecil itu. Naluri seorang ayahnya tersentuh
sedikit demi sedikit… jangan khuatir Hafizah sayang, abang akan didik Hannah
Farhana, anak kita hingga menjadi hamba
yang dipandang oleh TUHAN-nya, … insya-ALLAH.
Namun,
ada sesuatu yang tiba-tiba mengganggu keasyikannya memasang impian ketika itu.
Bunyi enjin kereta di luar mengalihkan perhatiannya daripada Hannah Farhana.
Kakinya dijejakkan ke lantai semula. Cermin tingkap biliknya dihampiri. Selepas
mengintai melalui langsir yang diselak kecil, Harraz mengatur pula langkahnya
menuju ke tingkat bawah.
Ruang
tamu rumah itu jadi terang serta-merta sebaik tangannya menyentuh suis. Harraz
terpana sebaik tiba di penghujung anak tangga. Namun hanya keluhan panjang yang
mampu dilepaskannya. Dia sudah lali dengan pemandangan di hadapannya ini.
Wajahnya lesu kembali.
Dato’
Hairi tersentak melihat suasana di hadapannya berubah serta-merta. Namun dalam
keadaannya yang bayang-bayang sebegitu, dia memang tidak menghiraukan apa-apa
lagi. Dia hanya mahu tumbang saja ketika ini! kepalanya sudah berat benar dan
dia tidak mampu berfikir lagi.
Harraz
mengucap panjang. Istighfar sudah melantun-lantun di bibirnya. Namun apa
dayanya? sudah ini yang memang perlu dihadapinya semenjak dulu lagi! “Raz dah
pesan banyak kali, pa. Kenapa papa minum lagi?” rungutnya sebaik tubuh yang
sedang berjalan terhuyung-hayang itu dihampiri. Tangan lelaki tua itu
digemaknya erat.
Dato’
Hairi yang sedang melayan pening-pening lalatnya itu tidak peduli apa pun yang
sampai kepadanya saat ini. Mindanya sudah tidak mampu untuk bekerja. Pengaruh
air kencing syaitan itu terlalu kuat untuk dia menjadi normal semula dalam masa
yang terdekat. Dia perlu tumbang dahulu!
Harraz
menuntun bapanya itu ke sofa. Susah dia hendak mengawal pergerakan lelaki itu
dalam keadaan begini. Dalam diam hatinya menjerit. Menjerit meminta dan berdoa
kepada ALLAH agar ada nur yang akan masuk ke celahan hati setiap ahli
keluarganya. Terkadang, dia tidak dapat menipu bahawa diri ini merasa cukup
letih akan semua ini! ALLAH…
Berat!
ya, bahunya terasa berat semacam. Dia tahu dia juga bertanggungjawab atas semua
ini namun… entahlah. Dia masih belum nampak di mana ruang untuknya
memperbetulkan semua ini.
“Papa
minum banyak ke ni? astaghfirullah…” Harraz terus mengeluh. Cawan yang berisi
air mineral yang baru dibawanya dari dapur tadi dihalakan ke arah lelaki
separuh umur yang sudah semacam tidak sedarkan diri itu. Wajah Harraz kelat dek
bau arak yang mengena derianya. Cukup membuatkan dia terasa mual.
Tangan
lelaki separuh umur itu menepis-nepis cawan yang dihalakan ke arahnya dan
akhirnya terhempas juga ke lantai. Harraz tersentak. Jantungnya berlari pecut
serta-merta.
Mata
Dato’ Hairi terkebil-kebil. Tekaknya mula lain macam terasa. Mulutnya ditekup
namun sesaat dua kemudian, terhambur
juga isi perutnya.
Harraz
menampar dahi. Jiwanya sesak kembali. Ya ALLAH…
CAHAYA
yang datang menyengat kelopak matanya yang terkatup rapat membuatkan dahi
lelaki itu berkerut-kerut beberapa ketika. Perlahan-lahan kelopak matanya
dibuka. Pandangannya berpinar-pinar namun makin menjelas. Harraz terduduk.
Selimut yang membaluti sehingga ke paras dadanya diselak. Lelaki itu termangu
di atas katil. Kepalanya masih mamai, maklumlah baru bangun tidur.
Baru
beberapa saat berlalu, baru dia terperasankan sesuatu. Matanya terus jadi
segar-bugar. Keadaan lelaki itu bertukar tidak tentu hala kini.
Tertinjau-tinjau dia memandang ke segenap ruang bilik. “Ana!”
Senyap.
Tiada jawapan. Harraz menggaru-garu kepala. Dia menoleh lagi ke sebelah kiri…
Hannah Farhana tiada di tempat tidurnya! ya ALLAH, mana pulalah si kecil ni?
Harraz
turun dari katil, meluruskan kaki. Sesekali dia menguap kecil. Kepenatan yang
bersisa masih belum hilang rupanya. Matanya terkebil-kebil memandang ke arah
tingkap yang menampakkan pemandangan terang di luar. Langsir sudah pun diikat
kemas. Harraz kebingungan… siapa pula yang masuk ke biliknya? takkanlah Hannah
yang mengikat langsir setebal ini? atau mungkin juga… Mak Ena, pembantu
rumahnya itu? tidak mungkin! biliknya ini memang kawasan peribadi. Selama ini
pun kerja mengemas biliknya ini dilakukannya sendiri dan Mak Ena hanya boleh
masuk bila diberi kebenaran. Mama atau
papa mungkin?
Harraz
menarik nafas dalam. Menyedari bahawa kelibat Hannah Farhana masih tidak muncul
di depan matanya, dia tidak bertunggu lagi. Bergegas dia keluar dari bilik.
“Ana!”
nama itu diteriaknya lagi. Gelisah betul dia selagi anak kecil itu tidak
kelihatan. Harraz berlari ke dapur pula… kosong! baru dia tersedar, dia hanya
keseorangan di rumah ini!
Ke
mana Hannah pergi? mama, papa dan Liana… ke mana mereka semua?
Harraz
menyapu-nyapu dahi. Melantun-lantun zikir di bibirnya. Cuba menenangkan hati
yang cepat saja gelabah. Subhanallah!
“Assalamualaikum
abi!!!” jerkahan suara comel itu bagai menghilangkan seribu satu kegelisahan
yang mencangkum hatinya. Tak menyempat-nyempat dia memusing tubuh. Kelibat si
kecil yang dinanti-nantikannya itu sudah tercegat di belakangnya. Lebar
senyuman Hannah Farhana sambil memeluk patung Domo kesayangannya itu.
“Waalaikumussalam…
Ana pergi mana sayang?” tubuh anak kecil itu diangkat. Pipi gebu itu
bertalu-talu diciumnya. Macam sudah lama benar terpisah!
Hannah
ketawa mengekek menerima tanda sayang dari abinya. Lama-lama naik rimas juga
dia apabila wajahnya masih tidak puas dimamah oleh kucupan kasih abinya.
Terkulat-kulat anak kecil itu. “I played
with my Domo, abi!”
“Ana
main sorang-sorang ke? kenapa tak kejut abi tadi?”
“Abi
tidur. Nenek tak kasi kejut.” Balas Hannah selamba. Patung Domo di tangannya
dibelek-belek. Wajah abinya tidak dipandang lagi.
Harraz
menggeleng perlahan. Ada riak kesal di wajahnya. “Hummm… Ana dah makan?”
Hannah
menggeleng saja. Agaknya dia sudah tidak kuasa lagi hendak melayan pertanyaan
abinya yang tak ubah macam mata-mata gelap itu.
Wajah
Harraz berkerut seribu. Tiba-tiba hatinya rasa tersentap. Bersalah… ya, dia
memang rasa bersalah yang teramat kini! “ya ALLAH, Ana tak makan lagi sayang?
nenek tak buat sarapan ke?”
Hannah
Farhana tidak mahu membalas lagi pertanyaan bertalu-talu abinya itu. Angguk
tidak, geleng pun tidak. Nampaknya anak kecil itu memang sudah tidak berminat
benar hendak mempedulikan soalan abinya.
“Hai,
anak tak makan lagi pun kau tak tahu Raz? macam mana kau jadi ayah ni?” suara
itu muncul saja tiba-tiba, membantutkan niat Harraz untuk menyambung sesi soal
jawabnya bersama anak kecil itu. Harraz menoleh sekilas. Wajah kosong Datin
Laila diperhatinya penuh debaran. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya
berdetak sebegitu melihat wajah mamanya ini.
“Raz
tertidur lepas subuh tadi, ma. Bangun-bangun Ana dah tak ada.”
“Itulah
kau! kahwin main redah aje. Dah beranak, makan minum anak pun tak tentu hala!”
Datin Laila terus membebel. Entah apa yang menyakitkan sangat jiwanya sekarang
ini sehingga terluah kata-kata itu.
Harraz
menahan nafas. Sabar… memang dia perlu banyak-banyak
bersabar. Namun terdetik juga di hatinya sebaik mendengar kata-kata mamanya
itu… apakah dia seorang ayah yang tidak bertanggungjawab? rasa-rasanya segala
keperluan Hannah Farhana selama ini telah cuba dipenuhinya. Kalau perlu
memasakkan makanan untuk anak kecil itu pun, dia tidak kisah kerana itu memang
sudah menjadi rutinnya bila tiba angin tidak baik mamanya. Apa lagi hak anaknya
itu yang masih belum dipenuhi? cuma ketika selepas solat subuh tadi saja dia
terlajak lena sehingga terjaga ketika waktu sudah terang-benderang.
“It looks like you have to get married soon. Kau
ni kena ada perempuan jaga, baru teratur hidup tu.” Datin Laila terus mengomel
dengan mata yang tidak lepas memandang cermin di hadapannya. Wanita separuh
umur itu masih belum berpuas hati dengan penampilannya. Sekejap, sekejap dia
membetul rambut. Sekejap, sekejap dia membetul-betulkan bajunya yang separas
lutut itu.
Harraz
masih diam di situ. Kata-kata Datin Laila membuatkan dia berfikir sejenak… ya,
dia masih belum memenuhi satu lagi keperluan Hannah Farhana… kasih-sayang
seorang ibu! Hannah Farhana memang memerlukan seorang wanita yang bergelar umi…
baru dia perasan di mana silapnya!
“Mak
Ena! ambil kunci kereta saya kat dalam laci!” laung Datin Laila, bergempita
suaranya.
Harraz
mendekati mamanya itu. “Ma nak pergi mana?”
“Jumpa
kawan.” Acuh tak acuh saja jawapan itu. Wajah anak lelakinya itu langsung tidak
dipandang.
Harraz
membatu lagi. Dukungannya pada tubuh Hannah Farhana masih kemas. Matanya
memandang susuk mamanya itu dari atas ke bawah. Keningnya bertaut. “Ma… mama
tak nak pakai ke tudung yang Raz belikan tu?”
Wajah
Datin Laila berubah riak serta-merta. Tajam keningnya. Soalan itu bagai telah
membuatkan darah menyembur ke segala uratnya. “Please… jangan mulakan, Raz! it’s
up to me to do what I want! kau nak pergi sekolah agama, aku ikutkan. Kau
nak buat apa pun, aku tak pernah kisah. Tapi jangan sesekali ada hati nak
mengubah aku!” nada itu mendatar, tetapi cukup keras kedengaran dan tidak
keterlaluan juga dikatakan sebagai satu amaran. Namun, sedikit sebanyak wajah
wanita tua itu jadi sebal juga menerima teguran daripada anak sendiri.
“Mak
Ena!!!” lagi sekali Datin Laila bertempik. Tidak lama kemudian, barulah
kelihatan susuk tubuh Mak Ena berlari-lari anak menuruni anak tangga dengan wajah
yang takut-takut.
2 comments:
Salam dik. novel ni bila nak keluar kat pasaran? Akk baca, best jalan cite dia.. :)
wassalam .. akak .. novel ni dah kena reject :( . sayaa pun tak tau bilaa nak hantar kat publisher baru ...:(
Post a Comment