BAB
2
Barangsiapa
yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia
melapangkan dadanya untuk (menerima agama) Islam. Dan barangsiapa yang
dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi
sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit.(Al:An’am:125)
NADHIRAH
masih terpegun di situ. Cuma matanya
saja yang dari tadi tidak lepas memerhatikan gelagat Liana. Gadis itu sedang
nyenyak melayan mimpinya di atas sofa panjang di ruang tamu rumah teres itu.
Wajah yang agak menampakkan keletihan dan kelesuan itu dipandang lama.
Fikirannya berpusing-pusing sambil itu. Apa sebenarnya yang terjadi pada gadis
ini?
Tetapi yang pastinya, ketika gadis
ini sampai lalu membentak-bentak di luar pagar rumah tadi, keadaan gadis ini memang
sudah bercelaru. Yang paling dia tidak sanggup ialah… bau arak yang menjalar ke
deria baunya. Bukan dia saja, Ruzita turut menyedari hal itu. Namun, entah
kenapa tidak gamak pula mereka hendak bertanyakan apa-apa kepada gadis ini.
Liana terus enak menikmati lenanya
walau masa sudah berganti masa. Hannah Farhana yang tidak duduk diam dari tadi
itu selamba saja berlari-lari dari dapur ke depan tanpa menghiraukan manusia
yang masih tetap nyenyak di atas sofa itu. Ya, tiada apa yang perlu ditakutkan
lagi. Ternyata gadis kusut-masai itu tidaklah berbahaya. Masuk-masuk saja ke
dalam rumah, terus rebah di atas sofa tidak sedarkan diri lagi.
“Dira, ini ke adik Ustaz Harraz?
susah aku nak percaya!” tegur Ruzita dari belakang, menampakkan rasa tidak puas
hatinya semenjak tadi.
Nadhirah hanya diam. Tidak tahulah
hendak membalas bagaimana. Dia sendiri bingung memikirkan perihal gadis ini.
Keluhan panjang dilepaskan sebagai tanda tiada kata mampu terluah.
“Dah macam jerangkung pulak aku
tengok! eiii… seram!” Ruzita membuat gaya menggigil. Memang dia tidak main-main
dengan kata-katanya. Keadaan Liana yang serabai semacam itu memang menakutkan
bagi orang normal yang melihat. Silap-silap mungkin ada yang mengatakan gadis
itu jelmaan hantu!
Nadhirah mengerutkan dahi. Lengan
Ruzita ditamparnya lembut sekadar menyuruh rakan serumahnya itu beringat-ingat
bila berkata-kata. Kalaulah si Liana ini mendengar apa yang keluar dari mulut
Ruzita… tidak tahulah!
“Betullah apa aku cakap!” Ruzita
tetap nak menang.
“Kak Ita, Kak Dira!” suara comel
itu mengalihkan perhatian mereka serta-merta. Serentak mereka berkalih arah
pula pada si kecil yang sudah tercegat di belakang mereka itu.
“Ana… kenapa?” tanya Nadhirah. Pipi
gebu itu diusap-usapnya lembut.
“Kenapa Auntie Yana tak bangun lagi?”
Hannah Farhana menyuarakan kemusykilannya. Sememangnya dia lagilah tidak
mengerti apa yang berlaku sekarang ini. Terutama kepada ibu saudaranya itu. Dia
bingung kenapa Auntie Liana terus tak bangun-bangun padahal hari belum malam
lagi!
“Dia penat agaknya,” rumus Ruzita
ringkas. Yalah, apa lagi yang hendak diterangkan kepada anak kecil yang hanya
berumur tiga tahun ini? patutkah kalau diterangkan bahawa ibu saudaranya ini
telah minum arak dan mabuk?
Hannah mencebik dengan memek muka
kesiannya. Dipandangnya lagi ibu saudaranya yang masih terlantar di sofa itu.
Pandangan seorang anak kecil yang masih belum mengerti.
“Ana dah lapar ke?” tanya Ruzita
untuk lari daripada topik. Tidak mahu ada persoalan baharu timbul di minda
Hannah Farhana terhadap ibu saudaranya itu. Dia tiada jawapan untuk menjawab.
Hannah Farhana tersenyum
menyeringai, menampakkan barisannya giginya yang tersusun rapi. Suka betul anak
itu! “lapar, tapi Ana dah janji nak teman abi makan nanti.”
“Eh, macam tu pulak! kalau Ana dah
lapar, Ana kenalah makan dulu. Nanti masuk angin, perut Ana jugak yang sakit.
Makan ya, sayang?” Nadhirah memujuk lembut, persis seorang ibu. Dan itulah yang
sepatutnya dirasakan oleh anak sekecil Hannah Farhana. Namun, apa yang berlaku
semuanya sudah tertulis di dalam lembaran yang bernama takdir. Takdir anak
kecil ini pula dilahirkan untuk tidak sempat merasai kasih-sayang ibunya
sendiri. Hanya kasih abinya yang menjadi penawar hati anak kecil itu. Tidak
tahulah sampai ke bila akan begitu.
“Dira, apa kata kau kahwin ajelah
dengan Ustaz Harraz tu,” usik Ruzita. Tawa nakalnya meletus juga sehingga
bercantum satu kening Nadhirah. Wajah Ruzita dipandangnya tidak puas hati. “Kau
ni tak habis-habis nak mengusik aku!”
“Yalah. Salah ke aku cakap? hei,
kau tak kesian ke pada Ana ni? dia tak ada mak tau! kalau kau kahwin dengan
ustaz, kau boleh jadi umi dia. Betul tak, Ana?” Ruzita terus mengusik, semakin
meningkat pula kadar tawanya. Entah apa yang lucu?
Hannah Farhana ikut tersenyum
gembira. Ada sesuatu yang timbul di fikiran anak kecilnya. “A’ahlah… apa kata
Kak Dira kahwin dengan abi? nanti Ana dapat umi. Yeye!” anak kecil itu melonjak
riang, seperti kata-katanya itu memang pasti akan menjadi realiti!
Ruzita masih tertawa menyakat
mendengar celoteh anak kecil itu. Tanpa apa-apa kata, dia pergi saja
meninggalkan mereka berdua.
“Mengarut aje Ana ni! ha, nak makan
tak?” Nadhirah cuba lagi untuk mengalihkan perhatian mereka daripada terus
menyebut hal itu. Tidak mahu pipinya terus memerah.
“Tak nak. Nak tunggu abi!” Hannah
Farhana tetap berkeras dengan pendiriannya. Bibirnya dimuncungkan sedepa.
“Ish… ish… Ana ni! kalau lapar,
makan dulu akak kata. Kalau Ana tak makan nanti lagi abi marah.” Lagi sekali
anak kecil itu dipujuknya. Risau betul dia dengan keadaan Hannah Farhana
begini. Beginilah keadaannya setiap kali kepala angin kanak-kanak ini datang.
“Abi tak marah! abi sayang Ana!”
rengek Hannah Farhana, tangannya pula menggosok-gosok mata. Sepertinya mood
anak kecil itu agak kurang baik ketika ini.
“Syh… syh… janganlah nangis,
sayang. Yalah, yalah… sementara tunggu abi datang, Ana tidur dulu ya? akak
buatkan susu, hmm?” kepala anak kecil itu diusap-usap lalu dibawa ke dalam
pelukannya. Hannah Farhana masih menggosok-gosok matanya. Rengekan halusnya
masih bersisa. Nadhirah tersenyum kecil. Rasa-rasanya dia tahu mengapa mood
kanak-kanak ini bak hujan panas tiba-tiba.
Hannah Farhana menguap besar.
Memang anak kecil itu sudah keletihan. Maklumlah, dari pagi tadi abinya
menghantar ke sini, kanak-kanak itu lincah benar bermain-main. Wajarlah dia
merehatkan diri pula sebelum abinya datang menjemput.
Hannah mengangkat kepalanya semula.
“Kak Dira, Ana nak kejutkan Auntie Yana dulu.”
“Eh, buat apa? dia tengah tidur
tu.”
“Ana nak dengar dia nyanyi. Suara
Auntie Yana sedap….” kata Hannah, bersungguh-sungguh meyakinkan Nadhirah. Sudah
mengantuk pun masih sempat hendak membuat permintaan.
“Hisshhh… jangan! bahaya! Ana
jangan kacau dia.” Amaran yang agak tegas diberikannya kepada Hannah Farhana.
Hannah Farhana terdiam. Sesekali dia mengerling ke arah Liana yang masih
nyenyak di tempatnya. Fikiran anak kecilnya penuh dengan tanda tanya.
SELESAI sesi taalim lewat petang itu, semua penghuni Darul Muttaqin yang terdiri
daripada pelbagai peringkat usia memenuhi dewan makan pula. Pelbagai riak boleh
dibaca daripada wajah-wajah mereka. Yang pastinya, ada ketenangan pada setiap
wajah di situ.
Harraz masih di dalam ruang itu,
menyusun semula kitab-kitab ke atas rak. Tiada tanda yang dia akan keluar dari
ruang kuliah itu. Punggungnya dilabuhkan semula di atas kerusi menghadap
meja-meja pelajar yang bersusun di hadapan. Sunyi. Ya, dia bersendiri lagi.
Kitab terjemahan Hidayah Salikin dicapainya lalu dibelek-belek. Dia terus leka
di situ.
Getaran halus telefon bimbit yang
berada di dalam kocek seluarnya membantutkan konsentrasinya. Kitab yang sedang
leka ditelaahnya ditutup. Telefon bimbit yang masih rancak menari-nari di dalam
poket seluar pantas dicapai. Sebaris nama yang muncul di skrin rata itu
diperhatinya lama… bagai ada sesuatu yang membuatkan dia teragak-agak untuk
terus mendiamkan telefon yang semakin menjerit minta diangkat itu.
Akhirnya dia akur juga untuk
menerima panggilan itu. “Assalamualaikum, ma.” Cepat-cepat dia mengambil
peluang memberi salam.
Senyap. Sepertinya gerangan di
hujung talian sana tiada minat langsung untuk berbicara dengannya. Mungkin ada
hal-hal tertentu yang membuatkan gerangan di hujung talian itu terpaksa juga
mendapatkannya.
“Ma?” tegurnya sekali lagi.
“Hurmmm… kau tak reti nak balik
ke?” terlontar juga suara itu akhirnya.
Harraz mengetap bibir. Nafas dalam
dihela. Dia kenal dengan intonasi suara itu. Intonasi yang cukup membuatkan
jiwanya tidak keruan kembali. “Raz dah nak balik ni, ma. Kelas dah selesai.”
Ada rengusan di hujung talian
selepas itu. Dan Harraz tidak mampu hendak berkata lebih-lebih. Dia tahu
bagaimana riak muka mamanya di hujung talian sekarang ini. Penuh kerutan yang
melambangkan ketidakpuasan hatinya.
“Kalau kau rasa nak balik, kau
buatlah cara nak balik. But there is no
wrong if you want to stay there. It’s okay kalau kau rasa rumah ni dah
macam neraka buat kau.” Suara itu mendatar, tetapi kedengaran amat
menjengkelkan di telinganya. Harraz menongkat dahi. Fikirannya berkecamuk lagi.
Ya ALLAH, tenangkanlah jiwa ini!
“Ma, Raz nak baliklah ni.” Lesu suaranya.
“Buat apa nak balik? duduklah
situ!” sindir Datin Laila, tidak pernah jemu untuk menambah kesakitan jiwa
lelaki itu.
Harraz tidak membalas. Lama dia
berdiam. Berbicara dengan mamanya seperti berbicara dengan orang asing! setiap
patah ayat yang ingin dituturkan mesti ditapis dahulu. Memang, beberapa tahun
kebelakangan ini dia tidak pernah merasakan ada lagi kemesraan antara dia
dengan mamanya. Semuanya setelah termeterainya ijab dan Kabul antara dia dengan
Farah Hafizah… namun, sampai bila keadaan terus begini? sedangkan Farah Hafizah
sudah lama meninggalkannya, tidak kembali lagi. Ya ALLAH, aku cuba untuk redha
atas semua ini! berilah aku kekuatan, ya ALLAH…
“Raz balik sekarang.
Assalamualaikum.” Akhirnya, hanya itu yang mampu terucap di bibirnya. Talian
segera dimatikan. Dia tidak kuasa lagi untuk terus bertegang urat dengan wanita
itu.
“Sabar, ustaz.” Ada tepukan lembut
mengena bahunya tiba-tiba. Harraz memalingkan muka menghadap punca suara itu
itu. “Pak cik… dah makan?”
Wajah tenang Pak Akob mengukir
senyuman. Dianggukkan saja pertanyaan itu. “Ustaz nampak gelisah aje,”
getusnya, sengaja ingin mencungkil cerita ustaz muda itu.
Harraz menggeleng. Senyuman tawar
dilemparkan buat lelaki itu. “Tak ada apa-apalah, pak cik. Errr… saya balik dulu
ya? nak ambil Hannah lagi ni.” Ujar Harraz. Fikirannya kembali tak menentu.
Sekejap-sekejap dia melihat jam di pergelangan tangannya. Rasanya hari ini dia
telah terlewat daripada biasa. Dia sudah dapat membayangkan betapa panjang
muncung zuriatnya itu nanti.
“Yalah, ustaz. Baliklah. Dah lewat
ni, kesian Hannah.” Pak Akob mengiakan saja. Walau lelaki tua itu ingin benar
mengorek cerita si Ustaz Harraz ini.
Usai bertaut salam mereka, Harraz
bergegas meninggalkan Darul Muttaqin. Peugeot 407 Premium itu mula meredah
jalan dalam suasana petang yang bakal hilang berganti malam pula selepas ini.
MATA Harraz terbuntang seketika di
situ, memandang Hannah Farhana yang sudah terlena di dalam dukungan Nadhirah
serta… perempuan yang berpenampilan kusut masai di belakang mereka itu. Entah
kenapa tiba-tiba perasaannya berkecamuk melihat gadis yang tidak terurus itu!
“Yana!” nama itu dijerkahnya tidak
menyempat-nyempat. Tersentak gadis yang berpenampilan kusut benar itu. Matanya
juga ikut terbeliak memandang lelaki itu sudah tercegat di depannya.
Nadhirah terpinga-pinga. Kepala
Hannah yang sudah lentok di bahunya itu diusap-usap lembut. Sedikit sebanyak,
darahnya terasa gemuruh. Dia tahu lelaki di hadapannya ini pasti terkejut benar
dengan kehadiran wanita yang berkeadaan serba tak kena itu.
“Apa dah jadi dengan kau ni, Yana?”
tanya Harraz mendatar nadanya. Raut wajahnya menggambarkan ada sesuatu yang
sedang cuba ditahan di dalam hatinya.
Gadis kusut masai itu merengus
kasar, rimas dengan pertanyaan itu. Rambut kusutnya digaru-garu. “Abang nak
balik tak ni? Yana nak ikut sekali.”
Harraz menahan nafas. Dia sendiri
tidak pasti apa yang dirasakannya kini. Tetapi yang pastinya, hatinya panas
melihat gadis serabai di hadapannya ini. Lelaki itu terus diam, tidak membalas
kata-kata wanita itu. Hannah Farhana diambil dari dukungan Nadhirah lalu dibawa
ke dalam pelukannya penuh hati-hati, tidak mahu menganggu lena puterinya itu.
Sempat dihadiahkan kucupan kasih buat anak kecil itu. Sementara wajah Liana
langsung tidak dipandangnya lagi. “Masuk kereta sekarang.” Mendatar juga
suaranya memberi arahan.
Liana mengherot-herotkan mulut.
Sesekali dia mencebirkan bibir tanda mengejek. Boleh dikatakan, perasaan
meluatnya pada abang kandungnya sendiri itu makin menjadi-jadi pula. Namun, dia
hanya akur. Peugeot itu dihampiri. Selepas pintu kereta dibuka, punggungnya
dihenyakkan ke seat belakang. Pintu
kereta dihempas kasar selepas itu, sebagai menunjuk perasaan yang terbuku di
hatinya.
Harraz tidak peduli lagi. Tidak
kuasa dia hendak melayan kerenah wanita itu. Hannah Farhana didudukkan di seat hadapan. Dengan cermat
disematkannya tali pinggang keledar ke tubuh Hannah. Sesekali si kecil itu
menggeliat, memang nyenyak benar… wajah comel itu dipandangnya sekali lagi
penuh rasa kasih sebelum dia pula beredar ke bahagian pemandu.
Nadhirah yang masih tercangak di
depan pintu pagar hanya memerhati gelagat-gelagat mereka. Namun, entah kenapa
dia lebih berminat untuk memerhati lelaki berwajah tenang itu mempamerkan
kasih-sayangnya terhadap si kecil Hannah. Tidak tahulah juga kenapa hatinya
tiba-tiba rasa berbunga-bunga ria… astaghfirullah!
Nadhirah tunduk memandang lantai.
Dia tidak mengangkat muka lagi sehinggalah kereta itu menghilang dalam kabus
malam.
“MACAM mana kau boleh sampai situ?”
soalan itu meniti di bibir Harraz tatkala pandangannya sedang fokus ke hadapan
jalan raya. Peugeot yang dipandunya pula masih bergerak dalam kelajuan
sederhana.
Liana di belakang yang sedari tadi
memejam rapat-rapat matanya mengerutkan dahi. Wanita itu berpeluk tubuh.
Pandangannya dihalakan ke luar tingkap kereta. Sengaja soalan itu dibiarkan
tidak berjawab dahulu.
“Abang tanya baik-baik ni, Yana,” getus
Harraz, boleh juga dikatakan sebagai keluhan hatinya menerima reaksi sebegitu
daripada wanita itu.
Liana mendengus-dengus pula. Soalan
itu sekali lagi membuatkan dia rasa sesak! “Cukuplah, bang. Jangan tanya
kenapa.”
“Sejak bila kau minum? siapa yang
kau ikut?” pertanyaan itu lebih laju tercamur di bibir Harraz kali ini, lebih
laju juga merenjat nadi Liana.
Mata gadis itu membulat seketika.
Wajahnya terasa panas… namun dia tetap relaks selepas itu. Bibirnya
dicebir-cebirkan lagi. Pertanyaan itu bagai angin lalu saja yang tidak membawa
apa-apa makna kepadanya. “So what?”
“I don’t think I have to explain anymore. You should have known on your
own!” suara Harraz makin meninggi kini.
“So? what’s your point, abang? Come
onlah… this is life okay! bukalah minda tu sikit!” gerutu Liana keras. Dia
juga tidak mahu ketinggalan mengikut sama meninggikan nada suara.
Harraz pula merengus. Berat beban
itu datang menghempap fikirannya kembali. Ya ALLAH, kuatkanlah diri ini! “But this life is not yours. Kau tu yang
kena buka minda! hidup ni tak lama.”
“Heiii… rimas! rimas! sudahlah,
bang. Tahi telinga Yana ni dah cair sampai tersumbat dah nak dengar ceramah
abang tu. Abang simpan ajelah ceramah abang tu pada orang-orang kat sekolah
agama tu. Ha, situ sesuailah. But please,
not here. I warned you!” Liana terus menggerutu, membuak-buakkan rasa panas
yang membakar hati dan perasaannya. Hati dan perasaan itu bagai sudah penuh
dengn titik hitam, hingga tidak mampu lagi membiaskan ‘cahaya’ luar yang datang
kepadanya.
Harraz terkedu lagi. Namun selepas itu
juga dia tidak bersuara sepatah pun lagi. Bila sesekali Hannah Farhana yang
tetap lena di sebelahnya itu merengek halus, barulah kedengaran suaranya
memujuk anak kecil itu. Lelaki itu bagai sudah tawar hati benar…
Namun dalam diam, hatinya yang
tawar itu jugalah yang digagahkan untuk terus memohon kepada-NYA. Memohon
supaya masih ada ruang untuk ‘cahaya-cahaya’ luar menembus lagi ke dalam hati
setiap ahli keluarganya. Dia sudah letih melihat orang di sekelilingnya sendiri
yang tidak mengenal TUHAN mereka… ya ALLAH, tolong!
No comments:
Post a Comment