BAB
1
Hak
kepada ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.(Al-Imam As-Syafie)
MUHAMMAD
Harraz hanya memerhati dari jauh gelagat
wanita itu. Sesekali dahinya berkerut seribu. Kalau ikutkan hati, ingin saja
dia mengamuk di situ. Apa yang sedang berlangsung di depan matanya ini
betul-betul membuatkan hatinya terasa dibakar! namun, dia masih cuba mengawal
perasaan… setiap kali itulah dia beristighfar.
Dengan lafaz basmalah, gadis yang
sedang asyik merengek-rengek dalam pelukan manja seorang lelaki bertubuh tegap
dengannya itu dihampiri. Langkah Muhammad Harraz diiringi dengan suatu
perasaan… yang amat sukar diungkapkan. “Liana!”
Gadis yang sedang leka bermesraan
dengan lelaki bertubuh tegap di hadapannya itu tersentak amat. Darahnya
berderau serta-merta. Pelukannya pada tubuh lelaki sasa itu terlerai juga.
Wajahnya pucat tidak berdarah. Bulat matanya memandang lelaki yang telah
menjerkah namanya hingga menggamit orang lain untuk menumpukan perhatian
padanya kini. “Abang…”
“Apa semua ni, Yana?” suara jantan
Harraz akhirnya terserlah juga di hadapan khalayak di restoran mewah itu.
Liana meneguk liur. Semakin kelu
lidahnya. Tiba-tiba tangannya disentap kasar oleh lelaki bernama Harraz di
hadapannya ini lalu ditariknya meninggalkan lelaki bertubuh sasa yang entah
kenapa boleh pula buat tidak tahu saja terhadapnya kini!
“Abang! lepaskan Yana!”
“Kau nak jadi perempuan apa ni ha?
mana maruah kau?”
“Eh, suka hatilah Yana nak buat
apa! abang tak payah sibuklah dengan hidup Yana! Yana tahu apa yang Yana buat!”
gadis itu terus meronta-ronta dalam genggaman erat Muhammad Harraz pada
lengannya. Dia terus ditarik menuju ke suatu arah yang tidak pasti. “Abang tak
ada hak nak campur hidup Yana!” Liana
terus bertempik.
Langkah Muhammad Harraz mati,
begitu juga dengan gadis itu. Harraz memusing tubuh, dipandangnya gadis itu
dengan pandangan tajam yang tidak berkedip. “Aku abang kau. Kau tanggungjawab
aku! jangan pernah kau nak persoalkan hak sesiapa kat sini.”
“Abang! mama dan papa pun tak
pernah persoalkan apa yang Yana buat. So abang
memang tak ada hak nak campur hidup Yana! lepaskan Yana!”
“Yana, apa yang Yana buat ni salah,
Yana.” Suara Harraz makin rendah kini. Sepertinya dia sudah letih dengan
keadaan itu.
“Abang tak payah sibuk-sibuk! let go of me… jangan kacau Yana lagi!”
akhirnya terlepas juga genggaman Harraz pada lengan adiknya yang kepala batu
itu. Harraz terdiam. Dia hanya mampu memerhati langkah gadis itu yang semakin
menjauh… sungguh dia sudah letih!
Ya ALLAH…
BREK kereta diangkat kemas. Nafas
lega dilepaskan perlahan-lahan, cuba menenangkan jiwa yang entah kenapa berpintal-pintal
benar kebelakangan ini. Harraz menyandarkan kepalanya di kerusi kereta. Matanya
terkebil-kebil, sekejap terbuka, sekejap tertutup. Benaknya bagai dihempap oleh
sesuatu yang amatlah berat! ALLAH…
“Abi! abi!” suara itu membuatkan
jiwanya tidak keruan seketika. Lantas pintu kereta ditolak tergesa-gesa.
Kanak-kanak itu sedang berlari dengan air mata yang berjurai-juraian di pipinya
sambil memeluk patung teddy berwarna
merah jambu, meluru ke arahnya. Fikiran Harraz bertambah berkecamuk!
Pelukan kanak-kanak itu akhirnya
bertaut pada tubuhnya. “Ana, kenapa sayang?”
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu
terus menangis. Bahunya terinjut-injut menahan hiba. Pelukannya pada badan
lelaki juga abinya itu semakin erat, bagai meminta agar difahami kesedihan yang
membadai jiwa kecilnya.
Ubun-ubun anak kecil itu
diusap-usap lembut. Wajah lelaki itu melambangkan betapa berat batu yang
menghempap dirinya kini. “Sayang?”
“Sakit!” rengek Hannah semakin
kuat. Jari telunjuknya menunjuk-nunjuk lidahnya yang dijelirkan. Mencurah-curah
lagi air matanya.
“What’s wrong with your tongue, dear?” pipi gebu itu ditepuk-tepuk
lembut. Matanya mengamati seluruh wajah comel itu.
Hannah tidak menjawab lagi.
Disembamkan mukanya ke badan si abi. Lama dia merengek di situ. “Pedas…
hukhuk…” rintih anak kecil itu tidak bermaya.
“Ana makan apa tadi?”
“Chicken porridge, abi.” Anak kecil itu mengangkat tangan lalu
menggosok-gosok matanya yang berair.
“Siapa yang buatkan?” Harraz terus
menyoal seperti penyiasat upahan.
“Nenek…” suara itu hanya terlepas separuh
dari kerongkongnya. Hannah terus menggosok-gosok matanya.
Harraz mengeluh. Lebih berat kini.
Memang seperti apa yang terlintas di jangkaannya!
Kepala si kecil itu diusap-usap
lalu dicium penuh kasih. Hati yang sudah terluka, tidak usahlah cerita. Hibanya
hanya DIA yang mengetahui. Namun, dia masih sedar yang dia adalah hamba kepada PENCIPTAnya.
Ya, dia memang sudah lama menerima semua ini dengan penuh redha. Walau betapa
bernanahnya jiwa ini! “jom masuk, sayang. Nanti abi cakap dengan nenek.”
“Ana takut!”
“Don’t worry, dear. Kan abi ada?” dia terus memujuk. Telapak
tangannya yang sedang mengelus-elus lembut ubun-ubun si kecil itu diharapkan
walau sedikit pun dapatlah meleraikan ketakutan jiwa anak kecil itu.
Hannah mengangkat mukanya. Ada bekas
air mata di situ. “Abi jaga Ana eh?”
Harraz mengangguk. Ada senyuman
tawar di bibirnya, meyakinkan zuriatnya itu.
Hannah mendepangkan tangannya.
“Abi, dukung!” barulah ada senyuman yang bukan kepura-puraan lagi mekar di
bibir mungil kanak-kanak itu. Harraz hanya menurut. Bibirnya juga tidak kendur
dengan senyuman buat si buah hatinya itu. Hannah Farhana diangkat dan
dikemaskan dalam dukungannya. Anak kecil itu terus mengekek senang hati.
“Kau layankanlah budak tu!” baru
saja mahu membuka mulut untuk memberi salam, ada satu suara lain lebih pantas
mematikan niatnya. Langkah Harraz tersekat di situ, di depan pintu banglo mewah
yang tersergam indah itu. Bahunya sekali lagi menjadi tempat Hannah
menyembamkan wajahnya. Semuanya gara-gara wanita yang meraut wajah kelat di
hadapan mereka ini…
“Ma, Ana mana boleh makan pedas,” keluh
Harraz.
“Ah, kau manjakan sangat budak tu!
manjakan… manjakan… nanti dia pijak kepala kau, padan muka!” wanita bermuka
kelat itu terus membuak-buakkan rasa sebal yang entah berapa menggunung agaknya
di dalam jiwanya. Bibirnya kendur, sungguh kedekut dengan senyuman.
Harraz menggeleng lesu. Kepala
Hannah Farhana masih tidak lekang dengan usapan lembut tangannya. Anak kecil
itu mungkin masih takut-takut dengan apa yang wanita bermuka kelat di
hadapannya ini telah lakukan ketika ketiadaannya tadi. Dia sendiri tidak pasti.
“Sampai bila, ma? sampai bila mama nak nafikan kehadiran Ana? Ana anak kandung Raz,
ma. Cucu mama!”
“Hei… aku dah letihlah nak cakap
dengan kau ni! sudah, sudahlah… aku tak nak dengar lagi. Kau yang degil tak nak
ikut cakap aku!” berdepak bunyi meja kayu itu dengan hentakan telapak tangan
wanita yang masih bermuka kelat itu. Tiada lagi kesabaran yang tinggal
berbekas… semuanya sudah terluka membuak-buakkan darah!
Harraz terkedu. Hannah Farhana di
dalam dukungannya tersentak. Anak kecil itu teresak-esak kembali…
“Hah! mengada-ngada! pergi! jangan
buat aku pandang muka budak ni! menyirap darah aku!” Wanita bermuka kelat itu
terus membentak, menghamburkan rasa panas yang entah bagaimana membara di dalam
hatinya.
Hannah Farhana terus mengogoi di
dalam dukungan abinya. Lebih lebat lagi air matanya membanjiri ke segenap ruang
pipi gebunya.
“Syhh… syhh… Ana jangan nangis ya?
abi ada, abi ada… jangan takut.” Si kecil itu terus dipujuk-pujuknya walau
hatinya sendiri sudah luluh tidak terpujuk lagi. Kepala si kecil itu terus
diberikannya usapan kasih, yang mana sedikit sebanyak mungkin dapat
menghilangkan kelirihan yang bergelora di lautan hatinya. Harraz memejam
rapat-rapat matanya. ‘Ya ALLAH, aku redha kalaulah semuanya ini demi mardhatillah(redha ALLAH)!’ sayup-sayup
di suatu sudut, hati kecilnya berdoa. Sungguh dia yakin tiada sesiapa lagi yang
lebih memahami… selain hanya DIA!
Hannah Farhana masih di situ,
wajahnya masih tersembam di bahu si abi.‘Maafkan abi, sayang…’ bisikan itu
berdetik lagi di hati Muhammad Harraz.
“NANTI abi datang ambil Ana balik.
Abi pergi ya?” lagi sekali ubun-ubun si kecil yang telah ditutupi tudung mini
itu dihadiahkan kucupan penuh kasih. Seperti tidak puas-puas pula dia
mencurahkan naluri seorang ayahnya pada satu-satunya zuriatnya itu. Hannah
Farhana… anak kecil itulah penghiburnya kini. Anak kecil itulah yang menjadi
penawar hatinya. Anak kecil itu jugalah… sebagai tanda kebahagiaan yang pernah
dikecapinya bersama seorang wanita yang bernama Hafizah. Ya, Farah Hafizah…
sungguh dia amat rindukan senyuman mekar itu. Dia rindukan tutur halus wanita
itu! Ya ALLAH…
Semuanya kerana rindu ini, dia
redha walau Farah Hafizah pergi tidak kembali lagi ke sisinya. Keikhlasan itu
sungguh rumit untuk diterangkan. Ya ALLAH, peliharalah hati ini.
“Abi janji?” si kecil yang kini
sudah berada di dalam dukungan pengasuhnya itu mengangkat jari kelingkingnya.
“Ya, sayang. Ana jangan nakal-nakal
tau! Ikut cakap kakak ni baik-baik.” Jari kelingkingnya bertaut dengan si kecil
itu. Harraz hanya mampu tertawa nipis menikmati saat-saat itu… saat-saat yang
baginya cukup berharga. Saat ketika melihat tawa ikhlas dari si kecil Hannah
Farhana.
“Hehe… sayang abi!”
“Humm… abi pun sayang Ana. Cium abi
sikit?” kali ini dia mahukan Hannah pula menghadiahkan kucupannya. Pipinya
dihala-halakan ke arah anak kecil itu. Hannah Farhana ketawa lagi lalu bibir
mungilnya terlekap juga pada pipi abinya itu.
“Ana memang tak boleh tinggal kat rumah
ke, ustaz?” setelah sekian lama dia hanya menjadi pemerhati gelagat dua beranak
itu menzahirkan kasih-sayang mereka, barulah kini suaranya kedengaran. Sesekali
diusap-usapnya kepala Hannah Farhana yang masih berada di dalam pelukannya itu.
“Nak buat macam mana, Nadhirah?”
hanya itu yang mampu terluah di bibir Harraz.
“Datin masih macam tu? dia tetap
tak terima Ana?” wanita berbaju kurung biru itu terus menyoal, bagai segala
jawapan dan raut muka yang ditonjolkan oleh Harraz dan Hannah tidak cukup lagi
untuk membuatkan dia memahami apa yang sedang berombak kencang antara kedua
beranak itu.
Harraz tunduk sebelum mengangkat
semula wajahnya, membuang pandangan matanya jauh-jauh ke lembah Kuala Lumpur
yang kelihatan padat saja dari kawasan lereng bukit itu. “Saya cuma mampu
berdoa setakat ni.”
“Sabar, ustaz.” Laju saja perkataan
itu tersembul pada kata-katanya. Nadhirah menekup mulut. Tidak… tidak
sepatutnya dia berkata sebegitu! perkataan ‘sabar’ bagi memujuk seseorang yang
sedang bersabar menampakkan kita pula yang tidak sabar mendengar masalah orang
itu!
Harraz hanya tertawa kecil. “Hum…tak
apa. Sabar pun salah satu proses untuk menuju ketenangan. Okeylah. Saya pergi
dulu. Ana jangan nakal-nakal tau. Nanti abi datang balik. Assalamualaikum.”
Lagi sekali pipi anak kecil itu diberikannya ciuman sebelum kakinya membuka
langkah semula. Kalau diikutkan hatilah, dia tidak mahu sesaat pun Hannah
Farhana hilang dari pandangannya.
“Waalaikumussalam,” balas Nadhirah
serentak dengan suara comel Hannah Farhana. Kedua-dua mereka hanya memerhati
langkah Muhammad Harraz yang semakin menjauh ke kereta Peugeot 407 Premium
berwarna silver itu. Kawasan di hadapan rumah teres dua tingkat itu lengang
beberapa ketika kemudiannya.
DARUL MUTTAQIN… di situlah di mana
sebuah rasa yang bernama ketenangan selalu berpuput lembut bak angin bayu
kepada hatinya. Di situ juga dia dapat melihat dan belajar apa itu
penghijrahan, mujahadah dan hidayah-NYA yang berlaku ke atas setiap penghuni
Darul Muttaqin. Tidak keterlaluan rasanya jika dia menganggap tempat ini adalah
raudhah buatnya… juga untuk semua penghuninya.
“Ustaz Harraz, apa khabar?” suara
serak yang agak lirih itu datang menjadi orang pertama yang menyapa. Harraz
menutup pintu kereta. Sekilas dia memusing tubuh menghadap punca suara itu.
“Oh, pak cik! alhamdulillah… pak cik apa khabar?” tangan tua itu disambar lalu
didekatkan ke pangkal hidungnya sebagai tanda hormat.
Senyuman Pak Akob melebar melihat
raut wajah lelaki berusia dua puluh lapan tahun itu turut terukir dengan sebuah
senyuman yang tidak dibuat-buat. Acap kali dia melihat wajah tenang lelaki itu
berubah gelisah. Dan tidak perlu tanya kenapa, Pak Akob memang sudah tahu
segala cerita daripada pangkal ke akhir tentang siapa lelaki muda di hadapannya
ini. Jadi apabila sesekali anak muda ini tersenyum, itu sudah cukup membuatkan
hatinya ikut merasa lapang. “Alhamdulillah, ustaz. Wah, ceria pulak ustaz pagi
ni! ha, Hannah, anak ustaz sihat?”
“Alhamdulillah, pak cik. Sihat. Dah
tiga tahun pun umur dia. Baru hari tu sambut hari lahir dia.” Ceria Harraz
membalas. Sungguh, Hannah Farhana memang penawar bagi luka di hatinya.
Pak Akob terangguk-angguk. Lega
hatinya mendengar intonasi bahagia daripada tenaga pengajar Darul Muttaqin itu.
Bahu Harraz ditepuk-tepuknya lembut. “Anak anugerah ALLAH, ustaz. Didiklah dia
sebaik-baiknya.”
“Insya-ALLAH, pak cik. Saya cuba
yang terbaik.”
“Jomlah, ustaz. Kami semua dah
tunggu ustaz ni. Tak sabar nak dengar tazkirah ustaz.” Gesa Pak Akob, mengingatkan
hal yang sepatutnya.
“Oh ya. Jom!” Lengan Pak Akob
dipaut lalu dituntunnya orang tua itu pergi.
BUNYI nyaring loceng rumah yang
ditekan bertalu-talu cukup membingitkan telinga penghuni rumah teres dua
tingkat itu. Berkerut-kerut dahi mereka. Siapa pulalah yang naik hantu ni?
mungkin sudah nak tercabut loceng itu dibuatnya!
“Kak Dira, ada orang datang!”
jerkah Hannah Farhana ke arah Nadhirah yang sedang leka melipat kain baju.
Tercungap-cungap si kecil itu, mungkin baru lepas berlari.
“Ada orang datang? siapa?”
Hannah Farhana angkat bahu.
Nadhirah mengeluh kecil. “Tak apa,
akak turun.” Kain baju yang sudah separuh berlipat itu diletakkan dahulu di atas sofa.
Tergesa-gesa menuju ke muka pintu. Selipar disarung, lalu menghampiri pintu
pagar.
“Liana!” nama itu terkeluar di
bibirnya. Nadhirah terpaku di situ.
Wanita berambut panjang yang
diwarnakan perang itu hanya terangguk-angguk. Keadaannya kusut-masai. Dengan
bawah matanya yang agak lebam. Berdiri pun terhuyung-hayang macam nak tumbang.
Buka mata pun tak larat! apa kena dengan wanita ini? Nadhirah terkilan sebentar
melihat Liana… ya, adik kepada Ustaz Muhammad Harraz.
“Bagi aku masuk.” Lirih bercampur
serak suara itu memberi arahan. Sesekali Liana menggaru-garu kasar rambutnya
yang berserabai.
“Errr… saya kena tanya Ustaz Harraz
dulu.”
“Hah? eh, aku adik dialah! bagi aku
masuk!” tiba-tiba jadi keras pula suara gadis itu.
“Macam mana saya nak bagi awak
masuk kalau awak buat perangai macam ni?!”
Tegas Nadhirah. Sudah tidak tahan dengan gelagat Liana yang terus-menerus
menggoncang pagar rumahnya itu.
Mata Liana membulat serta-merta.
Jelas menampakkan mata putihnya sudah bertukar kemerah-merahan seperti orang
tidak cukup tidur. Sepertinya, suhu gadis itu mungkin sudah mendadak kini. “Oh…
kau nak melawan ya? heh, aku kata buka, bukalah!!!” tempikan Liana bergema. Pintu
pagar itu digoncang-goncangnya lagi.
Nadhirah terkedu.
“Kenapa ni?” ketika itu jugalah,
datang suara lain dari arah belakang. Ruzita, teman serumahnya sudah tercangak
di belakang Nadhirah, memandang ke arah gadis yang tidak terurus di hadapan
mereka itu.
“Bagi aku masuklah! aku penat ni!”
lagi sekali Liana menggegarkan ruang udara. Sepertinya tiada kesabaran lagi
bersisa dalam hatinya.
“Auntie Yana!” suara Hannah
Farhanah menjerkah, belum sempat Ruzita hendak membuka mulutnya. Perhatian
mereka beralih lagi kepada kanak-kanak kecil yang sedang terkedek-kedek berlari
ke arah mereka itu. Wajah anak kecil itu nampak ceria benar. Lebih lebar
senyumannya sebaik terlihatkan wanita kusut-masai merangkap ibu saudaranya di
luar pagar itu.
“Kak Dira, Kak Ita, bagilah Auntie Yana masuk!” rengek Hannah Farhana.
Ditarik-tariknya baju Nadhirah tanda merayu. Mata jernih bulatnya dibesarkan
memandang Nadhirah, besar harapannya agar Kak Dirahnya itu akan mengikut
katanya.
Nadhirah dan Ruzita berpandangan.
Gelisah betul wajah mereka.
“Sudah-sudahlah tu! anak sedara aku
pun dah kasi aku masuk. Kau buka ajelah pintu ni!” Liana yang sudah tidak
tertanggung dengan keadaan dirinya yang pening-pening lalat begitu terus
menggesa.
Nadhirah hanya mengeluh panjang
selepas itu. Akhirnya dia akur. Pintu pagar dibuka. Langkah Liana
terhuyung-hayang menuju terus ke dalam rumah. Nadhirah dan Ruzita hanya
memerhati Hannah Farhana terkedek-kedek berlari lalu memeluk ibu saudaranya itu
dengan dahi yang berkerut-kerut.
2 comments:
tq sharing.
sama2^^
Post a Comment