ISTIKHARAH CINTA : BAB 1



BAB 1
Hak kepada ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.(Al-Imam As-Syafie)

MUHAMMAD Harraz hanya memerhati dari jauh gelagat wanita itu. Sesekali dahinya berkerut seribu. Kalau ikutkan hati, ingin saja dia mengamuk di situ. Apa yang sedang berlangsung di depan matanya ini betul-betul membuatkan hatinya terasa dibakar! namun, dia masih cuba mengawal perasaan… setiap kali itulah dia beristighfar.
Dengan lafaz basmalah, gadis yang sedang asyik merengek-rengek dalam pelukan manja seorang lelaki bertubuh tegap dengannya itu dihampiri. Langkah Muhammad Harraz diiringi dengan suatu perasaan… yang amat sukar diungkapkan. “Liana!”
Gadis yang sedang leka bermesraan dengan lelaki bertubuh tegap di hadapannya itu tersentak amat. Darahnya berderau serta-merta. Pelukannya pada tubuh lelaki sasa itu terlerai juga. Wajahnya pucat tidak berdarah. Bulat matanya memandang lelaki yang telah menjerkah namanya hingga menggamit orang lain untuk menumpukan perhatian padanya kini. “Abang…”
“Apa semua ni, Yana?” suara jantan Harraz akhirnya terserlah juga di hadapan khalayak di restoran mewah itu.
Liana meneguk liur. Semakin kelu lidahnya. Tiba-tiba tangannya disentap kasar oleh lelaki bernama Harraz di hadapannya ini lalu ditariknya meninggalkan lelaki bertubuh sasa yang entah kenapa boleh pula buat tidak tahu saja terhadapnya kini!
“Abang! lepaskan Yana!”
“Kau nak jadi perempuan apa ni ha? mana maruah kau?”
“Eh, suka hatilah Yana nak buat apa! abang tak payah sibuklah dengan hidup Yana! Yana tahu apa yang Yana buat!” gadis itu terus meronta-ronta dalam genggaman erat Muhammad Harraz pada lengannya. Dia terus ditarik menuju ke suatu arah yang tidak pasti. “Abang tak ada hak nak campur hidup Yana!”  Liana terus bertempik.
Langkah Muhammad Harraz mati, begitu juga dengan gadis itu. Harraz memusing tubuh, dipandangnya gadis itu dengan pandangan tajam yang tidak berkedip. “Aku abang kau. Kau tanggungjawab aku! jangan pernah kau nak persoalkan hak sesiapa kat sini.”
“Abang! mama dan papa pun tak pernah persoalkan apa yang Yana buat. So abang memang tak ada hak nak campur hidup Yana! lepaskan Yana!”
“Yana, apa yang Yana buat ni salah, Yana.” Suara Harraz makin rendah kini. Sepertinya dia sudah letih dengan keadaan itu.
“Abang tak payah sibuk-sibuk! let go of me… jangan kacau Yana lagi!” akhirnya terlepas juga genggaman Harraz pada lengan adiknya yang kepala batu itu. Harraz terdiam. Dia hanya mampu memerhati langkah gadis itu yang semakin menjauh… sungguh dia sudah letih!
Ya ALLAH…

BREK kereta diangkat kemas. Nafas lega dilepaskan perlahan-lahan, cuba menenangkan jiwa yang entah kenapa berpintal-pintal benar kebelakangan ini. Harraz menyandarkan kepalanya di kerusi kereta. Matanya terkebil-kebil, sekejap terbuka, sekejap tertutup. Benaknya bagai dihempap oleh sesuatu yang amatlah berat! ALLAH…
“Abi! abi!” suara itu membuatkan jiwanya tidak keruan seketika. Lantas pintu kereta ditolak tergesa-gesa. Kanak-kanak itu sedang berlari dengan air mata yang berjurai-juraian di pipinya sambil memeluk patung teddy berwarna merah jambu, meluru ke arahnya. Fikiran Harraz bertambah berkecamuk!
Pelukan kanak-kanak itu akhirnya bertaut pada tubuhnya. “Ana, kenapa sayang?”
Kanak-kanak berusia tiga tahun itu terus menangis. Bahunya terinjut-injut menahan hiba. Pelukannya pada badan lelaki juga abinya itu semakin erat, bagai meminta agar difahami kesedihan yang membadai jiwa kecilnya.
Ubun-ubun anak kecil itu diusap-usap lembut. Wajah lelaki itu melambangkan betapa berat batu yang menghempap dirinya kini. “Sayang?”
“Sakit!” rengek Hannah semakin kuat. Jari telunjuknya menunjuk-nunjuk lidahnya yang dijelirkan. Mencurah-curah lagi air matanya.
What’s wrong with your tongue, dear?” pipi gebu itu ditepuk-tepuk lembut. Matanya mengamati seluruh wajah comel itu.
Hannah tidak menjawab lagi. Disembamkan mukanya ke badan si abi. Lama dia merengek di situ. “Pedas… hukhuk…” rintih anak kecil itu tidak bermaya.
“Ana makan apa tadi?”
Chicken porridge, abi.” Anak kecil itu mengangkat tangan lalu menggosok-gosok matanya yang berair.
“Siapa yang buatkan?” Harraz terus menyoal seperti penyiasat upahan.
“Nenek…” suara itu hanya terlepas separuh dari kerongkongnya. Hannah terus menggosok-gosok matanya.
Harraz mengeluh. Lebih berat kini. Memang seperti apa yang terlintas di jangkaannya!
Kepala si kecil itu diusap-usap lalu dicium penuh kasih. Hati yang sudah terluka, tidak usahlah cerita. Hibanya hanya DIA yang mengetahui. Namun, dia masih sedar yang dia adalah hamba kepada PENCIPTAnya. Ya, dia memang sudah lama menerima semua ini dengan penuh redha. Walau betapa bernanahnya jiwa ini! “jom masuk, sayang. Nanti abi cakap dengan nenek.”
“Ana takut!”
Don’t worry, dear. Kan abi ada?” dia terus memujuk. Telapak tangannya yang sedang mengelus-elus lembut ubun-ubun si kecil itu diharapkan walau sedikit pun dapatlah meleraikan ketakutan jiwa anak kecil itu.
Hannah mengangkat mukanya. Ada bekas air mata di situ. “Abi jaga Ana eh?”
Harraz mengangguk. Ada senyuman tawar di bibirnya, meyakinkan zuriatnya itu.
Hannah mendepangkan tangannya. “Abi, dukung!” barulah ada senyuman yang bukan kepura-puraan lagi mekar di bibir mungil kanak-kanak itu. Harraz hanya menurut. Bibirnya juga tidak kendur dengan senyuman buat si buah hatinya itu. Hannah Farhana diangkat dan dikemaskan dalam dukungannya. Anak kecil itu terus mengekek senang hati.
“Kau layankanlah budak tu!” baru saja mahu membuka mulut untuk memberi salam, ada satu suara lain lebih pantas mematikan niatnya. Langkah Harraz tersekat di situ, di depan pintu banglo mewah yang tersergam indah itu. Bahunya sekali lagi menjadi tempat Hannah menyembamkan wajahnya. Semuanya gara-gara wanita yang meraut wajah kelat di hadapan mereka ini…
“Ma, Ana mana boleh makan pedas,” keluh Harraz.
“Ah, kau manjakan sangat budak tu! manjakan… manjakan… nanti dia pijak kepala kau, padan muka!” wanita bermuka kelat itu terus membuak-buakkan rasa sebal yang entah berapa menggunung agaknya di dalam jiwanya. Bibirnya kendur, sungguh kedekut dengan senyuman.
Harraz menggeleng lesu. Kepala Hannah Farhana masih tidak lekang dengan usapan lembut tangannya. Anak kecil itu mungkin masih takut-takut dengan apa yang wanita bermuka kelat di hadapannya ini telah lakukan ketika ketiadaannya tadi. Dia sendiri tidak pasti. “Sampai bila, ma? sampai bila mama nak nafikan kehadiran Ana? Ana anak kandung Raz, ma. Cucu mama!”
“Hei… aku dah letihlah nak cakap dengan kau ni! sudah, sudahlah… aku tak nak dengar lagi. Kau yang degil tak nak ikut cakap aku!” berdepak bunyi meja kayu itu dengan hentakan telapak tangan wanita yang masih bermuka kelat itu. Tiada lagi kesabaran yang tinggal berbekas… semuanya sudah terluka membuak-buakkan darah!
Harraz terkedu. Hannah Farhana di dalam dukungannya tersentak. Anak kecil itu teresak-esak kembali…
“Hah! mengada-ngada! pergi! jangan buat aku pandang muka budak ni! menyirap darah aku!” Wanita bermuka kelat itu terus membentak, menghamburkan rasa panas yang entah bagaimana membara di dalam hatinya.
Hannah Farhana terus mengogoi di dalam dukungan abinya. Lebih lebat lagi air matanya membanjiri ke segenap ruang pipi gebunya.
“Syhh… syhh… Ana jangan nangis ya? abi ada, abi ada… jangan takut.” Si kecil itu terus dipujuk-pujuknya walau hatinya sendiri sudah luluh tidak terpujuk lagi. Kepala si kecil itu terus diberikannya usapan kasih, yang mana sedikit sebanyak mungkin dapat menghilangkan kelirihan yang bergelora di lautan hatinya. Harraz memejam rapat-rapat matanya. ‘Ya ALLAH, aku redha kalaulah semuanya ini demi mardhatillah(redha ALLAH)!’ sayup-sayup di suatu sudut, hati kecilnya berdoa. Sungguh dia yakin tiada sesiapa lagi yang lebih memahami… selain hanya DIA!
Hannah Farhana masih di situ, wajahnya masih tersembam di bahu si abi.‘Maafkan abi, sayang…’ bisikan itu berdetik lagi di hati Muhammad Harraz.

“NANTI abi datang ambil Ana balik. Abi pergi ya?” lagi sekali ubun-ubun si kecil yang telah ditutupi tudung mini itu dihadiahkan kucupan penuh kasih. Seperti tidak puas-puas pula dia mencurahkan naluri seorang ayahnya pada satu-satunya zuriatnya itu. Hannah Farhana… anak kecil itulah penghiburnya kini. Anak kecil itulah yang menjadi penawar hatinya. Anak kecil itu jugalah… sebagai tanda kebahagiaan yang pernah dikecapinya bersama seorang wanita yang bernama Hafizah. Ya, Farah Hafizah… sungguh dia amat rindukan senyuman mekar itu. Dia rindukan tutur halus wanita itu! Ya ALLAH…
Semuanya kerana rindu ini, dia redha walau Farah Hafizah pergi tidak kembali lagi ke sisinya. Keikhlasan itu sungguh rumit untuk diterangkan. Ya ALLAH, peliharalah hati ini.
“Abi janji?” si kecil yang kini sudah berada di dalam dukungan pengasuhnya itu mengangkat jari kelingkingnya.
“Ya, sayang. Ana jangan nakal-nakal tau! Ikut cakap kakak ni baik-baik.” Jari kelingkingnya bertaut dengan si kecil itu. Harraz hanya mampu tertawa nipis menikmati saat-saat itu… saat-saat yang baginya cukup berharga. Saat ketika melihat tawa ikhlas dari si kecil Hannah Farhana.
“Hehe… sayang abi!”
“Humm… abi pun sayang Ana. Cium abi sikit?” kali ini dia mahukan Hannah pula menghadiahkan kucupannya. Pipinya dihala-halakan ke arah anak kecil itu. Hannah Farhana ketawa lagi lalu bibir mungilnya terlekap juga pada pipi abinya itu.
“Ana memang tak boleh tinggal kat rumah ke, ustaz?” setelah sekian lama dia hanya menjadi pemerhati gelagat dua beranak itu menzahirkan kasih-sayang mereka, barulah kini suaranya kedengaran. Sesekali diusap-usapnya kepala Hannah Farhana yang masih berada di dalam pelukannya itu.
“Nak buat macam mana, Nadhirah?” hanya itu yang mampu terluah di bibir Harraz.
“Datin masih macam tu? dia tetap tak terima Ana?” wanita berbaju kurung biru itu terus menyoal, bagai segala jawapan dan raut muka yang ditonjolkan oleh Harraz dan Hannah tidak cukup lagi untuk membuatkan dia memahami apa yang sedang berombak kencang antara kedua beranak itu.
Harraz tunduk sebelum mengangkat semula wajahnya, membuang pandangan matanya jauh-jauh ke lembah Kuala Lumpur yang kelihatan padat saja dari kawasan lereng bukit itu. “Saya cuma mampu berdoa setakat ni.”
“Sabar, ustaz.” Laju saja perkataan itu tersembul pada kata-katanya. Nadhirah menekup mulut. Tidak… tidak sepatutnya dia berkata sebegitu! perkataan ‘sabar’ bagi memujuk seseorang yang sedang bersabar menampakkan kita pula yang tidak sabar mendengar masalah orang itu!
Harraz hanya tertawa kecil. “Hum…tak apa. Sabar pun salah satu proses untuk menuju ketenangan. Okeylah. Saya pergi dulu. Ana jangan nakal-nakal tau. Nanti abi datang balik. Assalamualaikum.” Lagi sekali pipi anak kecil itu diberikannya ciuman sebelum kakinya membuka langkah semula. Kalau diikutkan hatilah, dia tidak mahu sesaat pun Hannah Farhana hilang dari pandangannya.
“Waalaikumussalam,” balas Nadhirah serentak dengan suara comel Hannah Farhana. Kedua-dua mereka hanya memerhati langkah Muhammad Harraz yang semakin menjauh ke kereta Peugeot 407 Premium berwarna silver itu. Kawasan di hadapan rumah teres dua tingkat itu lengang beberapa ketika kemudiannya.

DARUL MUTTAQIN… di situlah di mana sebuah rasa yang bernama ketenangan selalu berpuput lembut bak angin bayu kepada hatinya. Di situ juga dia dapat melihat dan belajar apa itu penghijrahan, mujahadah dan hidayah-NYA yang berlaku ke atas setiap penghuni Darul Muttaqin. Tidak keterlaluan rasanya jika dia menganggap tempat ini adalah raudhah buatnya… juga untuk semua penghuninya.
“Ustaz Harraz, apa khabar?” suara serak yang agak lirih itu datang menjadi orang pertama yang menyapa. Harraz menutup pintu kereta. Sekilas dia memusing tubuh menghadap punca suara itu. “Oh, pak cik! alhamdulillah… pak cik apa khabar?” tangan tua itu disambar lalu didekatkan ke pangkal hidungnya sebagai tanda hormat.
Senyuman Pak Akob melebar melihat raut wajah lelaki berusia dua puluh lapan tahun itu turut terukir dengan sebuah senyuman yang tidak dibuat-buat. Acap kali dia melihat wajah tenang lelaki itu berubah gelisah. Dan tidak perlu tanya kenapa, Pak Akob memang sudah tahu segala cerita daripada pangkal ke akhir tentang siapa lelaki muda di hadapannya ini. Jadi apabila sesekali anak muda ini tersenyum, itu sudah cukup membuatkan hatinya ikut merasa lapang. “Alhamdulillah, ustaz. Wah, ceria pulak ustaz pagi ni! ha, Hannah, anak ustaz sihat?”
“Alhamdulillah, pak cik. Sihat. Dah tiga tahun pun umur dia. Baru hari tu sambut hari lahir dia.” Ceria Harraz membalas. Sungguh, Hannah Farhana memang penawar bagi luka di hatinya.
Pak Akob terangguk-angguk. Lega hatinya mendengar intonasi bahagia daripada tenaga pengajar Darul Muttaqin itu. Bahu Harraz ditepuk-tepuknya lembut. “Anak anugerah ALLAH, ustaz. Didiklah dia sebaik-baiknya.”
“Insya-ALLAH, pak cik. Saya cuba yang terbaik.”
“Jomlah, ustaz. Kami semua dah tunggu ustaz ni. Tak sabar nak dengar tazkirah ustaz.” Gesa Pak Akob, mengingatkan hal yang sepatutnya.
“Oh ya. Jom!” Lengan Pak Akob dipaut lalu dituntunnya orang tua itu pergi.

BUNYI nyaring loceng rumah yang ditekan bertalu-talu cukup membingitkan telinga penghuni rumah teres dua tingkat itu. Berkerut-kerut dahi mereka. Siapa pulalah yang naik hantu ni? mungkin sudah nak tercabut loceng itu dibuatnya!
“Kak Dira, ada orang datang!” jerkah Hannah Farhana ke arah Nadhirah yang sedang leka melipat kain baju. Tercungap-cungap si kecil itu, mungkin baru lepas berlari.
“Ada orang datang? siapa?”
Hannah Farhana angkat bahu.
Nadhirah mengeluh kecil. “Tak apa, akak turun.” Kain baju yang sudah separuh berlipat  itu diletakkan dahulu di atas sofa. Tergesa-gesa menuju ke muka pintu. Selipar disarung, lalu menghampiri pintu pagar.
“Liana!” nama itu terkeluar di bibirnya. Nadhirah terpaku di situ.
Wanita berambut panjang yang diwarnakan perang itu hanya terangguk-angguk. Keadaannya kusut-masai. Dengan bawah matanya yang agak lebam. Berdiri pun terhuyung-hayang macam nak tumbang. Buka mata pun tak larat! apa kena dengan wanita ini? Nadhirah terkilan sebentar melihat Liana… ya, adik kepada Ustaz Muhammad Harraz.
“Bagi aku masuk.” Lirih bercampur serak suara itu memberi arahan. Sesekali Liana menggaru-garu kasar rambutnya yang berserabai.
“Errr… saya kena tanya Ustaz Harraz dulu.”
“Hah? eh, aku adik dialah! bagi aku masuk!” tiba-tiba jadi keras pula suara gadis itu.
“Macam mana saya nak bagi awak masuk kalau awak  buat perangai macam ni?!” Tegas Nadhirah. Sudah tidak tahan dengan gelagat Liana yang terus-menerus menggoncang pagar rumahnya itu.
Mata Liana membulat serta-merta. Jelas menampakkan mata putihnya sudah bertukar kemerah-merahan seperti orang tidak cukup tidur. Sepertinya, suhu gadis itu mungkin sudah mendadak kini. “Oh… kau nak melawan ya? heh, aku kata buka, bukalah!!!” tempikan Liana bergema. Pintu pagar itu digoncang-goncangnya lagi.
Nadhirah terkedu.
“Kenapa ni?” ketika itu jugalah, datang suara lain dari arah belakang. Ruzita, teman serumahnya sudah tercangak di belakang Nadhirah, memandang ke arah gadis yang tidak terurus di hadapan mereka itu.
“Bagi aku masuklah! aku penat ni!” lagi sekali Liana menggegarkan ruang udara. Sepertinya tiada kesabaran lagi bersisa dalam hatinya.
“Auntie Yana!” suara Hannah Farhanah menjerkah, belum sempat Ruzita hendak membuka mulutnya. Perhatian mereka beralih lagi kepada kanak-kanak kecil yang sedang terkedek-kedek berlari ke arah mereka itu. Wajah anak kecil itu nampak ceria benar. Lebih lebar senyumannya sebaik terlihatkan wanita kusut-masai merangkap ibu saudaranya di luar pagar itu.
“Kak Dira, Kak Ita, bagilah Auntie Yana masuk!” rengek Hannah Farhana. Ditarik-tariknya baju Nadhirah tanda merayu. Mata jernih bulatnya dibesarkan memandang Nadhirah, besar harapannya agar Kak Dirahnya itu akan mengikut katanya.
Nadhirah dan Ruzita berpandangan. Gelisah betul wajah mereka.
“Sudah-sudahlah tu! anak sedara aku pun dah kasi aku masuk. Kau buka ajelah pintu ni!” Liana yang sudah tidak tertanggung dengan keadaan dirinya yang pening-pening lalat begitu terus menggesa.
Nadhirah hanya mengeluh panjang selepas itu. Akhirnya dia akur. Pintu pagar dibuka. Langkah Liana terhuyung-hayang menuju terus ke dalam rumah. Nadhirah dan Ruzita hanya memerhati Hannah Farhana terkedek-kedek berlari lalu memeluk ibu saudaranya itu dengan dahi yang berkerut-kerut.