CERPEN: INSYA-ALLAH, KEBAHAGIAAN MENANTIMU



TIDAK pernah dia jangka yang insan itu akan hadir dan menjadi peneman hidupnya. Insan yang baginya terlalu istimewa. Dia takut kalau insan itu akan pergi dari hidupnya, sungguh dia amat takut!


Dia tak mahu lagi perpisahan itu… cukuplah hanya sekali!


Ima menguap kecil. Jam sudah menunjukkan angka sebelas, memang sudah tiba waktu merehatkan diri. Matanya dilarikan pula ke arah kanak-kanak kecil berusia empat tahun itu yang sedang lena melayan mimpi. Meleret senyumannya.


"Afiq, umi selalu doa… semoga Afiq jadi anak yang soleh. Ingat nak, dalam hidup ni tak lain, tak bukan kita hanya cari reda Allah. Umi doakan supaya Afiq reda dengan setiap apa yang Allah takdirkan. Insya-Allah, pintu jannah akan sentiasa terbuka untukmu, nak." Ubun-ubun si kecil itu diusap-usapnya penuh kasih lalu dikucup lembut.


Begitulah setiap malam, dia tidak akan lupa untuk 'mengingatkan' anak sulungnya itu. Walaupun dia tahu, Muhammad Afiq Fikri ini tidak akan mendengar apatah lagi memahami, tetapi cukuplah anak hasil perkahwinannya ini dengan insan itu menghayati dalam mimpi lenanya.


Ima beralih pula ke katil sebelah. Kepala kanak-kanak kecil berusia dua tahun itu pula diusap-usapnya penuh kasih-sayang. Bibirnya didekatkan ke telinga kanak-kanak yang bernama Muhammad Aniq Fayyadh itu. Ayat yang sama diulang.


"Umi sayang Aniq." Kucupan lembut pun dihadiahkan. Sebelum berganjak keluar, sempat dia mengamati wajah kedua-dua buah hatinya itu dengan pandangan seorang ibu.


'Semoga anak-anak umi sentiasa dalam lindungan Allah…'


Ima menutup semula pintu bilik tidur tersebut. Dengan langkah sederhana, dia menuju ke bilik tidurnya.



CERAMAH pada malam itu tetap berjalan dengan baik dengan penyampainya ialah si imam masjid itu sendiri, iaitu Ustaz Muhammad Aliff Fahmi Al-Hafiz. Sepatutnya ada seorang penceramah lain telah dijemput, tetapi beliau memberitahu tidak dapat hadir pula pada saat-saat akhir atas sebab tertentu. Kelam-kabut sekejap pengurusan masjid!


Namun, akhirnya mereka bertemu jawapan. Mereka sebulat suara mahukan si imam itu yang mengambil tempat penceramah. Mereka kenal Aliff Fahmi. Lelaki berusia tiga puluh dua tahun itu pun tak kurang hebatnya dengan gaya tersendiri ketika menyampaikan ceramah. Biasanya dia akan membuatkan para pendengar tak kering gusi…


Ceramah pada malam itu berkisarkan tentang 'cinta'… ya, tajuknya pun dah sensasi. Terlongo jemaah yang terdiri daripada kalangan pak cik-pak cik itu mendengar.


Pandai pulak si imam ni berbicara soal cinta! Mungkin itulah yang terdetik di hati mereka.


Si isteri, yang duduk di saf wanita hanya tersenyum simpul di sebalik purdahnya. Matanya tidak lepas langsung memerhati si suami yang sedang memberi ceramah di depan. Sungguh, hanya Allah yang mengetahui betapa bersyukurnya dia dikurniakan insan itu…


"Cinta pandang pertama tak semestinya dia yang terakhir. Tapi yang pasti, cinta yang pertama dan terakhir hanyalah ALLAH yang satu. Insya-Allah, bila kita dah cintakan DIA sepenuh hati, cinta yang lain pasti akan menyusuli. Tak percaya? Cubalah…" Begitulah bunyi salah satu bahagian ceramah si imam pada malam itu. Biasanya ceramah yang dia sampaikan berbentuk humour, tetapi lain pula pada malam itu… ceramahnya lebih berbentuk falsafah. Melopong pak cik-pak cik yang mendengar.


Ima melangkah keluar dari ruang solat. Rasa syukurnya dipanjatkan kerana dia masih diberi kesempatan untuk berjemaah di masjid memandangkan bukan selalu dia mendapat peluang itu. Kalau tak kerana mengikut si suami yang bertugas sebagai imam, tak adalah…


Senyuman Ima makin melebar sebaik terpandangkan kedua-dua puteranya sudah tercegat di tangga masjid serta… insan istimewa itu. Langkahnya diatur laju menghampiri mereka bertiga.


"Umi!!!" Jerkah kanak-kanak berdua itu. Ceria benar wajah mereka melihat umi kesayangan sudah muncul.


Ima mendepangkan tangan. Kedua-dua anak kecil itu ditarik ke dalam pelukan. Dikucup-kucupnya pipi mereka. "Sayang anak umi. Ha, masa abi tengah ceramah tadi, Afiq dengan Aniq buat apa?"


Afiq dan Aniq melepaskan pelukan umi mereka serentak. Masih terpancar keceriaan pada wajah mereka. "Kitorang dengar, umi." Balas Afiq keletah.


Aniq hanya menyeringai menampakkan batang giginya. Sememangnya dia tak faham apa-apa, maklumlah… baru dua tahun umurnya. Yang dia tahu sebut hanyalah umi, abi, makan, tidur serta perkataan-perkataan basic yang lain. Tapi hari tu rasanya dah dengar dia baca Al-Fatihah…


Syukur… lagipun, umi dan abinya masing-masing hafiz dan hafizah. Semoga anak-anak mereka turut mengikut jejak mereka.


"Wah, bagus anak-anak umi!" Puji Ima dengan nada mengacah. Dia tahu, Afiq tu cakap saja. Budak-budak… paling tidak pun tidur atau melenting-lenting ketika abinya berceramah tadi.


"Anak-anak abi memang pandai," si suami yang hanya memerhati kemesraan antara isterinya dengan anak-anak mereka itu dari tadi pula menyampuk. Dibongkokkan sedikit badannya lalu Afiq diambil ke dalam dukungan.


Ima hanya tersenyum. Insya-Allah, anak-anak kita akan jadi seperti abang…


Aniq pula diangkat ke dalam dukungan uminya. Mengekek-ngekek kanak-kanak itu ketawa apabila uminya menghadiahkan ciuman bertalu-talu ke pipi gebunya.


"Abang," Ima menyahut perlahan.


Aliff Fahmi yang sedang memandu mengangguk kecil. "Ya sayang?"


Ima memusing sejenak ke seat belakang. Afiq dah tidur… leka benar anaknya itu bermain dengan kereta mainan kesayangannya tadi.


Ima menoleh ke hadapan semula. Kepala Aniq yang juga sudah tertidur di pangkuannya diusap-usap lembut.


Aliff Fahmi mengerutkan dahi. "Sayang?"


Ima tersentak kecil. Lama sangat dia berdiam diri…


"Tak ada apalah, bang. Hum, esok abang jadi ke pergi ladang abang kat Pahang tu?"


"Jadi, insya-Allah. Kenapa Ima?" Tanya Aliff Fahmi. Takut juga dia kalau isterinya itu tak bersetuju. Tetapi, pergi menjenguk ladang-ladangnya yang berada di tempat lain selain di Selangor ini di mana tempat dia menetap memang dah jadi rutin.


"Hum, tak ada apa-apa. Saja je tanya. Abang hati-hati tau,"


Aliff Fahmi tersenyum. "Yalah sayang. Insya-Allah."


"Abang," Ima memecah suasana dengan sahutan lagi.


"Hmmm?" Balas Aliff Fahmi lebih perlahan kali ini. Sepertinya, lelaki itu sudah keletihan.


Ima tersenyum sumbing. "Sedap ceramah abang tadi."


Mata Aliff Fahmi terus jadi segar-bugar. "Apa?"


Ima meledakkan tawa kecil. Belakang tapak tangan Aliff Fahmi yang diletakkan di atas peha itu diambilnya lalu diramas-ramas lembut. "Cinta Allah dulu, baru cinta yang lain akan menyusuli. Ya kan, bang?"


Aliff Fahmi meneguk liur. Jantungnya berdegup kencang tiba-tiba. Namun, wajahnya tetap tenang seperti biasa. Ayat yang keluar dari mulutnya tadi itu diulangi semula oleh si isteri…


Senyuman manis cuba diukir. "Betul sayang. Cinta Allah dulu,"


Ima menghela nafas dalam. Wajahnya tetap tenang di sebalik purdah yang menutupi.


"Abang, Ima bersyukur sangat sebab Allah dah kabulkan doa Ima. Ya… abang betul. Kalau cinta Allah dulu, cinta yang lain akan menyusul. Ima cintakan abang, tapi… dalam masa yang sama, Ima tak boleh abaikan cinta Ima pada Allah. Ima dulu pernah keliru, bang. Bila abang kahwin dengan arwah Anis, Ima rasa hidup Ima kosong. Tapi… Ima sedar yang Ima kena reda. Jadi, Ima serahkan semuanya pada Allah. Alhamdulillah… tak syak lagi, memang cinta lain menyusul lepas tu. Cinta abang yang Ima tunggu-tunggu akhirnya Allah perkenankan datang pada Ima. Terima kasih sebab terima Ima, bang." Kata-kata itu diakhiri dengan hembusan nafas lega. Lapang jiwanya.


Sementelah Aliff Fahmi sudah terkedu. Kata-kata si isteri sedikit sebanyak mengembalikan memori lama. Namun, tiada apa yang perlu dikenangkan lagi. Seperti biasa, takdir Allah, siapa boleh jangka?


"Ima, apa yang berlaku pada kita semua Allah dah tentukan. Tak payah berterima kasih pada abang. Bila Allah dah takdirkan sesuatu tu, automatik benda tu akan jadi sunnatullah. Dan, perkahwinan kita ni pun sunnatullah sayang." Balas Aliff Fahmi tenang. Memori lama yang mengusik minda segera dibuang jauh-jauh.


Alhamdulillah, kurniaan Allah memang cukup besar setelah ujian yang datang ditempuh dengan penuh keredaan…


Ima tunduk. Dalam diam, dia tidak akan pernah berhenti berdoa agar kebahagiaan yang dikecapi saat ini tidak akan pergi lagi… insya-Allah.



SUASANA di ruang makan agak bingit dengan keletah kedua-dua si kecil yang nakal memanjang itu. Puas umi dengan abi mereka nak membetulkan. Yang sorang leka dengan kereta mainannya sampai tak nak makan. Yang sorang lagi meragam sakit perut…


"Afiq, letaklah dulu kereta tu. Meh makan dulu." Pujuk Ima lembut. Sudu kecil yang berisi bubur ayam itu dihala-halakan ke bibir si Afiq. Namun, si kecil itu pantas menepis. Geleng kepala dia menunjukkan isyarat 'tak nak'.


"Sayang, makanlah dulu. Lepas ni mainlah balik. Hmmm…" Ima melepaskan keluhan panjang. Sudu yang dipegang diletakkan semula ke dalam mangkuk berisi bubur itu. Kepala Afiq diurut-urutnya lembut.


"Afiq tak sayang umi eh?"


Afiq menggeleng.


"Habis? Kalau Afiq sayang umi, Afiq makanlah." Ima terus memujuk. Sebagai ibu memang dia perlu banyak bersabar. Terutama dengan kerenah si Afiq… faham sangat dia dengan perangai anak sulungnya ini. Afiq memang tak kuat makan. Kadang-kadang tu sampai kena paksa-memaksa macam nilah…


Aliff Fahmi muncul dari tingkat atas sambil mendukung Aniq yang berwajah sedih mencuka itu. Lain pula halnya…


"Laaa… apasal tak pakai baju ni?" Tanya Ima. Terbangun dia dari tempat duduk melihatkan Aniq yang hanya memakai pampers tanpa baju dan seluar.


"Itulah, tak sabar-sabar nak jadi orang besar." Sindir Aliff Fahmi. Dia pun kadang-kadang bingung juga melayan kerenah anak-anaknya yang bermacam-macam ragam itu.


"Kenapa, bang?"


"Humhum… Aniq nilah, bila abang nak pakaikan pampers tak nak. Bila tak pakai, tengoklah macam tadi, tak sempat sampai bilik air dah tercicir tengah jalan." Beritahu Aliff Fahmi. Lelaki itu tergelak kecil. Wajahnya tetap tenang walaupun letih melayan fiil si anak.


Ima menggeleng perlahan. Senyuman sumbing diukir. Pipi Aniq yang masih sedih mencuka itu dicubit-cubit geram. "Hai anak umi ni… tak sabar nak besar ye? Tak sabar nak jadi macam abi?"


Aniq menepis tangan uminya. Marah betul dia…


"Aih, macam abang? Abang tak pernah tak sempat sampai bilik air tau!" Ajuk Aliff Fahmi. Terasa macam disindir. Namun dia tahu Ima hanya bergurau.


Ima ketawa kecil. Bahu suaminya itu ditampar manja. "Abang ni… maksud Ima, jadi macam abang yang sekarang nilah. Abang yang sekarang kan baik, bijak, penyabar… Ima nak anak-anak kita ada semua sifat tu."


"Iya ke abang ni sesempurna tu?" Bisik Aliff Fahmi ke telinga si isteri.


"Uhum... Ima bersyukur sangat Allah kurniakan abang dalam hidup Ima."


"Umi!!! Abi!!!"


Tersentak amat pasangan yang boleh pula 'beromantis' kejap itu. Sedar tak sedar, perlakuan romantis mereka membuatkan anak-anak rasa 'terabai'. Nah, satu rumah bergegar dengan lolongan Afiq dan Aniq!


Biar umi dan abi sedar! Tak elok buat 'macam tu' depan anak-anak!


Terpinga-pinga pasangan itu sekejap. Namun, mereka hanya tertawa selepas itu. Afiq dan Aniq sudah memuncung sedepa.


"Laa… kesian anak abi ni. Hummm… ha, lepas ni nak tak ikut abi jumpa Mama Anis?" Pujuk Aliff Fahmi dengan ajakannya. Serentak itu juga muka Afiq dan Aniq berseri-seri balik.


Kedua-dua mereka mengangguk laju. "Nak, abi!"


Ima tersenyum lega. Lega melihat keserasian yang tercetus antara anak-anaknya dengan… bekas isteri suaminya.


Anis… sungguh baru kumengerti perasaan kau. Aku tahu kau juga tidak mahu melepaskan peluang menjadi wanita bertuah yang pernah duduk di hati insan yang bernama Muhammad Aliff Fahmi.


Walaupun kau telah pergi, lihatlah… cinta Abang Aliff terhadap kau masih seperti dulu.


Dan… insya-Allah aku takkan cemburu. Biarlah… aku lebih suka melihat Abang Aliff menjadi orang yang tahu menghargai segala kurnia-Nya.



"ABI, Mama Anis tu baik tak?" Suara Afiq menggemakan ruang di dalam kereta yang sedang bergerak sederhana meninggalkan kawasan perkuburan itu. Bahu umi dan abinya yang dari tadi membisu di tempat duduk hadapan dipegang erat.


Aliff Fahmi berpandangan dengan si isteri. Wanita itu mengangguk.


Melalui mata yang mengecil itu, Aliff Fahmi tahu Ima tersenyum di sebalik purdahnya. Sekurang-kurangnya dia tidak akan rasa bersalah untuk menjawab pertanyaan Afiq dengan jujur.


"Baik, Afiq. Mama Anis baik sangat."


Afiq diam terus. Bila dah dapat jawapan, dia akan senyap. Kanak-kanak kecil itu membuat hal sendiri pula. Sesekali kedengaran suara dia membunyikan deruman kereta mainannya di seat belakang.


Anis, wanita itu yang pernah ditolaknya dahulu. Dia memang tidak rela akan pernikahan itu… semuanya gara-gara peristiwa hitam yang berlaku.


Perhubungannnya dengan wanita bernama Isma Humairah atau yang digelar Ima itu semuanya bermula dari sesi taaruf antara dua buah keluarga. Mereka tidak pernah saling mengenal. Namun kerana kehendak-Nya, cinta itu hadir sedikit demi sedikit ketika mereka ditunangkan.


Namun, kehadiran Anis bagai menghancurkan hidup lelaki itu apabila mereka ditangkap berkhalwat. Namun… Aliff Fahmi tidak salah. Dia diperangkap! Semenjak itu, segalanya hancur…


Anis lari ketika mereka bakal dinikahkan. Pertunangan lelaki itu dengan Ima diputuskan. Jawatan imam yang disandang juga dilepaskan… dengan hati yang kecewa Aliff Fahmi yang ketika itu masih menetap di Melaka, rumah arwah umi dan walidnya membawa diri ke Kuala Lumpur. Di kota itu, dia giat memajukan kegiatan perladangan warisan arwah walidnya bersama-sama Pak Sahak, bapa saudaranya.


Begitu juga Ima. Masing-masing membawa diri yang kecewa. Namun, kekecewaannya terubat apabila Pak Hassan, ayah tiri Anis membongkar kepada dia serta orang kampungnya di Melaka yang Aliff Fahmi sebenarnya hanya menjadi mangsa perangkap lelaki tua itu kerana sebuah dendam. Dia berdendam dengan Aliff Fahmi kerana baginya lelaki itu selalu mencampur urusan keluarganya memandangkan Anis yang pernah diperkosa oleh Pak Hassan selalu mengadu pada Aliff Fahmi dan kakaknya yang kini sudah pergi menghadap Ilahi kerana kemalangan.


Syukur dia ketika itu hanya Allah yang tahu…


Pertemuan semula Aliff Fahmi, Anis dan Ima di Kuala Lumpur telah menentukan siapa yang bakal berjaya kali itu. Anis dengan penuh dendam kesumat melakukan apa saja cara untuk mendapatkan Aliff Fahmi sehingga lelaki itu terpaksa akur.


Ima… hanya reda yang termampu.


Termeterailah sebuah pernikahan… dalam keadaan hati lelaki itu yang tidak rela. Namun, lama-lama Allah telah mencampakkan keredaan itu. Sedikit demi sedikit dia cuba menyayangi wanita yang bernama Anis. Namun, hujan di tengah hari… ketika kebahagiaan baru bermekar, wanita itu pergi…


Wanita itu pergi kerana pendarahan yang serius akibat terjatuh dari tangga dan ketika itu… di dalam rahimnya sudah tertanam benih lelaki itu. Sungguh… takdir Allah mengubah segalanya!


"Abang, malam ni mak balik tau." Ima mengingatkan si suami.


Aliff Fahmi tidak memberi respon. Fikirannya sudah jauh terbang.


Ima mengerutkan dahi. Apakah bayangan Anis masih menghantui fikiran suaminya ini?


Tak apalah, Abang Aliff… Ima tak kisah. Anis pun pernah jadi isteri abang…


"Abang?"


"Hah?" Terkebil-kebil mata Aliff Fahmi. Nasib baik dia masih boleh mengawal stereng kereta yang sedang meluncur laju di tengah jalan.


Ima mengetap bibir. Bahu Aliff Fahmi digosok-gosok lagi. "Malam ni mak balik, bang."


"Errr… ya. Abang ingat. Lepas Maghrib nanti kita pergi airport ya?" Ada getaran pada suara Aliff Fahmi. Mungkin masih tersentak kerana lamunannya dimatikan tadi.


Ima tersenyum tawar. Dia hanya menganngguk. Pandangan kosongnya dilemparkan ke depan semula.


Aliff Fahmi mengurut dada. Istighfar bermain-main di bibirnya. Ya Allah… jauh sungguh fikirannya terbang ke memori lama tadi!


Anis, terima kasih atas pengorbananmu…


Ima, jangan risau… Ima pernah jadi yang pertama dan insya-Allah, akan jadi yang terakhir di hati abang.


Sejenak Aliff Fahmi menjeling si isteri yang sedang mengacah-acah si Aniq yang mengekek-ngekek dari tadi.


Aliff Fahmi tersenyum kecil.



TUBUH wanita berlingkungan lima puluh-an itu ditarik ke dalam pelukan. Dua minggu tak berjumpa, rasa terlalu lama bagi anak-emak yang tak pernah berpisah itu.


"Ima apa khabar, nak?" Soal Puan Gina. Wajahnya nampak keletihan. Maklumlah, baru pulang dari buat umrah. Di Mekah sana semestinya amal ibadat dilakukan dengan penuh kesungguhan.


"Alhamdulillah, mak. Mak sihat?" Ceria Ima membalas.


"Sihat. Alhamdulillah. Eh, mana cucu-cucu mak?" Soal Puan Gina sebaik wajah Afiq dan Aniq kesayangannya itu terlintas di fikiran.


"Sini, mak." Suara Aliff Fahmi kedengaran. Puan Gina memusing ke belakang. Semakin lebar senyumnya melihat menantunya sedang mendukung Afiq dan Aniq yang sudah tercegat di situ.


"Aliff, Afiq, Aniq!" Nama ketiga-tiga anak beranak tersebut disebutnya satu persatu.


Menyeringai Afiq dan Aniq apabila nenek mereka mencium pipi mereka bertalu-talu. Rindu benar wanita tua itu terhadap cucu-cucunya. Mana taknya, dari lahir sampai sekarang, Afiq dan Aniq sentiasa ada depan matanya.


Setelah lepas rindu dendam Puan Gina terhadap cucu-cucunya, Aliff Fahmi pula mengambil peluang bersalaman dengan mak mertuanya itu.


"Sihat, Liff?"


"Alhamdulillah, mak."


Lepas selesai merisik khabar dan berbasa-basi kejap, mereka mengatur langkah, meninggalkan balai menunggu.



SEPERTIGA malam itu Aliff Fahmi bangun, melakukan rutin biasanya iaitu bermunajat kepada DIA. Entah kenapa, dia tidak tahu mengapa hatinya sebak benar…


Berjurai-juraian air matanya sebaik takbiratulihram diangkat untuk Solat Tahajud. Tersekat-sekat bacaan Al-Fatihahnya.


Dalam diam, Ima yang sedang berpura-pura tidur itu mengintai perlakuan suaminya. Dengan bantal yang sengaja disembamkan ke atas wajah, dia harap Aliff Fahmi tidak akan perasan yang dia sedang memerhati gelagat lelaki itu dari atas katil.


Pada mulanya, memang dia mahu juga bertahajud dengan si suami. Namun, bila melihat lelaki itu hiba semacam, dia bantutkan niat itu. Sekarang baru pukul tiga pagi… tak mengapalah, dia akan buat pada pukul lima nanti.


Abang Aliff, kenapa dengan abang? Apa yang abang sedihkan?


Abang, Ima boleh terima kalau abang sedih kerana rindukan cinta-Nya. Tapi Ima mohon, kalau abang sedih atas sebab lain… minta sudilah kongsi dengan Ima. Ima nak sangat tahu isi hati abang. Kadang-kadang Ima sukar nak baca apa yang abang fikirkan. Sebab, abang sentiasa bermuka tenang macam tak ada apa-apa. Jangan buat Ima rasa bersalah, bang!


Ketika lelaki itu mendirikan solat Taubat, Ima tidak mampu lagi menahan mata. Terlena dia tanpa mengetahui lagi perihal lelaki itu…



"ABANG, Ima… nak…"


Lelaki yang baru menyelesaikan bacaan Al-Qurannya itu berpaling ke belakang. Keningnya diangkat sebelah. "Ya?"


Ima tunduk. Dadanya menahan debaran kencang. Tersimpul-simpul senyumannya membuatkan si suami kehairanan. "Ima?"


"Ima nak bagitahu abang…" perlahan suaranya.


"Bagitahu apa, sayang?"


Ima mengetap bibir. Nafas dalam diambil. Betul punya gemuruh!


"Ima… Ima…" tersekat lagi ayatnya. Susah benar dia nak keluarkan ayat itu!


"Ima… kenapa ni?" Aliff Fahmi bertanya lembut. Pipi si isteri diusapnya lembut.


Ima menghela nafas lagi. Tangan si suami diraih lalu diramas-ramas.


"Ima mengandung, bang." Beritahu Ima. Semakin erat tangan Aliff Fahmi diramas-ramasnya, mengharap si suami bahagia mendengar khabar itu.


Aliff Fahmi meneguk liur. Matanya membulat tidak percaya. Kelu lidahnya.


"Ima… mengandung? Subhanallah, betul ke ni sayang???" Terbangun sedikit lelaki itu dari tikar sejadah. Ima tertawa kecil. Lega hatinya melihat reaksi Aliff Fahmi begitu. Sungguh dia amat rindukan saat-saat ini…


Ima mengangguk dengan senyuman. Anak mata lelaki itu ditatap dalam.


"Alhamdulillah, ya Allah!" Aliff Fahmi mengucapkan tahmid. Wajahnya diraup. Rasa syukurnya bukan dibuat-buat. Gembira betul dia menerima kenyataan itu…


Tubuh si isteri yang masih bertelekung ditarik ke dalam pelukan. Dahi wanita itu dihadiahkan dengan kucupan penuh cinta. Ima memejam rapat matanya.


Terima kasih, ya Allah!



SELEPAS pulang dari ladangnya, dia terus menuju ke masjid. Petang itu dia ada kelas Al-Quran dengan orang-orang dewasa. Memang begitulah rutin hariannya setiap hari Khamis dan Jumaat. Namun, dia tidak kisah. Apa yang dilakukannya ini semua lillahitaala. Termasuk kos bayaran percuma yang dikenakan bagi sesiapa yang menghadiri kelasnya…


Pokoknya dia memang ikhlas mahu melihat umat ini celik Al-Quran.


Semenjak dua ini jiwanya lapang benar. Hidup ini rasanya indah belaka. Mungkin 'seri' anak ketiganya yang bakal lahir beberapa bulan lagi nanti. Memuncak debarannya sepertimana suatu ketika dulu menanti kelahiran Afiq dan Aniq yang semakin nakal itu.


Huh… sah memang 'gamatlah' rumah tu nanti bila adik mereka dah keluar!


"Assalamualaikum, semua." Salam diberi. Pak cik-pak cik yang sudah menunggu dari tadi membalas serentak.


Aliff Fahmi mengambil tempat di hadapan sekali selaku 'tok guru'. Sempat mereka berbasa-basi sebelum pembelajaran bermula. Pak cik-pak cik tu pun boleh tahan ramahnya.


"Maaflah, abang-abang, pak cik-pak cik. Jalan sesak tadi. Tu yang lewat sikit."


"Tak apa, ustaz. Tak kisah le. Janji ustaz datang."


"Huhu… okey. Ha, hari tu kita berhenti kat mana?" Tanya Aliff Fahmi. Tiba-tiba terlupa pulak takat mana pembelajaran mereka tempoh hari.


Pak cik-pak cik tersebut pun mulalah kelam-kabut nak selak buku. Aliff Fahmi hanya tersenyum sumbing memerhati gelagat mereka dengan pandangan sinis.


"Woi!!!" Teriak satu suara. Terperanjat mereka yang baru nak memulakan sesi pembelajaran di situ.


"Eh, apahal ni?!" Jerkah Pak Cik Taib dengan pertanyaannya pula.


"Aliff!" Lelaki berbadan gempal itu tidak menghiraukan apa-apa lagi. Nama si ustaz pula yang menjadi sasaran.


Aliff Fahmi meneguk liur. Pelbagai persoalan menerpa mindanya. Bingkas dia bangun dengan segala keberanian. "Ya… saya. Ada apa Abang Said?"


Lelaki berbadan gempal yang digelar Abang Said itu membengiskan wajah, galak matanya memandang ustaz merangkap imam itu dengan pandangan berbaur kebencian.


Namun, Aliff Fahmi tetap tenang. Selagi boleh bersabar, dia akan bersabar. Tetapi, beberapa orang lagi lelaki yang berusia awal dan lewat empat puluh-an yang datang selepas itu lalu berdiri di belakang Abang Said, cukup membuatkan hati Aliff Fahmi berkocak hebat.


Puas dia memikir… dia ada buat silapkah?


Pak cik-pak cik di situ berpandangan sesama sendiri.


"Heh, kau tak payah nak berlagak alimlah! Kalau kau orang semua nak tahu, dia ni… nama aje imam, ustaz… kau tau tak selama ni kita berimamkan siapa? Pelaku maksiat besar!" Tempik Abang Said penuh keemosian. Turun naik nafasnya.


Tersentap Aliff Fahmi seketika. Kelu lidahnya.


Pak cik-pak cik di situ terlongo. Mereka turut berdiri selepas itu.


"Eh Said! Apa kena dengan kau ni? Sopanlah sikit!" Omel Pak Cik Mahmud. Sakit betul hati dia melihat si Said yang datang tiba-tiba menghambur macam-macam tuduhan terhadap ustaz yang mereka amat percayai itu.


"Pak Mahmud, Pak Mahmud tak tahu apa-apa baik diam! Sekarang saya nak bagitahu ni… Aliff yang konon-kononnya ustaz ni, pernah kena tangkap khalwat tau! Kau orang ingat tak bini dia yang mati tujuh tahun lepas tu? Itu… perempuan tulah! Kau tak percaya, kau tanya 'ustaz' ni sendiri!" Hambur Abang Said lagi betul-betul menampakkan kebenciannya.


Pak cik-pak cik tersebut beristighfar panjang. Serentak mereka memandang si ustaz untuk meminta penjelasan.


Aliff Fahmi tunduk. Jiwanya yang sudah tersentap rasa bagai disiat-siat. Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu ini!


"Pak cik, apa yang Abang Said cakap tu… benar. Tapi wallahi, semua tu berlaku bukan atas kerelaan saya. Saya diperangkap!" Dengan getaran dan keberanian yang masih bersisa dia mengakui kata-kata Abang Said. Dia tiada pilihan lain… menafikan pun tidak boleh juga kerana perkara itu memang betul-betul berlaku.


Pak cik-pak cik di situ mengucap panjang. Tidak percaya dengan apa yang baru mereka dengar. Tujuh tahun lepas lelaki itu berpindah ke sini dari Melaka, mereka perasan yang lelaki itu bukan calang-calang anak muda. Mereka lihat lelaki itu sepertinya mempunyai ciri-ciri pernah menjadi imam dan ustaz. Memang benar isteri pertamanya meninggal kerana keguguran dan selepas itu lelaki ini berkahwin pula dengan wanita lain lalu pergi menyambung pengajian ke Mesir selama tiga tahun. Namun… tidak pernah pula mereka mendengar cerita 'sedahsyat' ini!


"Ah, sudahlah! Kau orang semua tak payah dengar cakap dia ni! Orang dah salah, mana nak mengaku? Pokoknya, kau orang nak ke orang macam ni jadi imam kawasan kita ni? Kau nak ke orang kotor macam ni jadi ketua kat sini? Yang imamkan sembahyang kau orang?" Abang Said terus menambah api. Kata-katanya yang pedas memang sedikit sebanyak mempengaruhi mereka yang berada di situ.


Lutut Aliff Fahmi longlai. Sesak dadanya.



'YA ALLAH, abang!" Berlari dia mendapatkan lelaki yang sudah terduduk lemah di muka pintu itu. Air mata hibanya tidak tertanggung lagi melihat keadaan si suami yang begitu memeritkan jiwanya.


"Kenapa jadi macam ni, bang? Siapa lagi yang dengki dengan abang?" Ima bertanya dengan esakan hiba. Luluh hatinya apabila Aliff Fahmi memberitahu bahawa lelaki itu dibelasah pula oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang tadi.


Sudahlah penduduk di sini mula memandang serong terhadap suaminya…


Ya Allah, sungguh bertimpa-timpa ujian-Mu!


"Ima… kita sabar ya?" Lelaki itu tetap juga menahan perasaan walau dalam hatinya terasa perit benar.


"Abang, abang tak boleh terus macam ni. Abang selalu buat baik pada orang. Tapi abang sendiri… ini yang abang dapat!" Ima sebagai wanita memang cepat kalah pada emosi. Namun, sedaya upaya dia cuba merendahkan suara walau sedu-sedannya masih jelas kedengaran.


Dia tidak mahu Abang Aliff sakit lagi. Namun…


Ya Allah, lindungilah hamba-Mu ini!


"Ima, abang tak suka Ima cakap macam tu. Ingat Ima, Allah dah kata yang seseorang tu belum boleh dikatakan beriman selagi tak diuji. Ini ujian, Ima. La tahzan, innallaha ma'ana, sayang." Kata-kata lelaki itu tetap lembut pada akhirnya cukup membuatkan hati wanita Ima merasakan yang dirinya terlalu kurang berbanding lelaki ini. Itulah istimewanya Aliff Fahmi di matanya… namun, dia tetap tak dapat membohongi rasa terkilannya terhadap apa yang berlaku pada suaminya ini.


Ima cuba mengukir senyuman paling manis walau tetap hambar dalam esakannya. Air matanya menitik lagi. Pandangan sayu dilemparkan kepada Aliff Fahmi yang masih terduduk lemah di atas katil kamar mereka itu.


"Dah, sayang abang jangan menangis. Kesian baby dalam ni." Cepat saja Aliff Fahmi sudah boleh berlagak biasa semula walaupun kepedihan dibelasah separuh mati tadi tetap berbekas. Biarlah… dia akan bersabar selagi terdaya.


Telapak tangannya diletakkan di atas perut si isteri yang sudah membesar itu. Tinggal dua bulan lagi, insya-Allah anak ketiga mereka akan menjengah dunia.


Mungkin itu sedikit sebanyak akan menghapuskan segala duka yang wujud ketika ini.


Ima tergelak kecil. Air matanya pantas diseka. Dia tidak mahu menangis selagi Abang Aliff tidak menumpahkan air mata. Kalau boleh…


Daun pintu diketuk halus. Lantas mengalih perhatian mereka.


"Masuklah," sahut Ima. Pintu dikuak, kelibat Puan Gina, Afiq serta Aniq memenuhi ruang mata serta-merta.


"Eh, mak, Afiq, Aniq, masuklah." Aliff Fahmi pantas mempelawa. Belakang badannya yang bersandar lemah pada kepala katil ditegakkan semula.


"Abi! Abi sakit lagi ke?" Meluru Afiq dan Aniq mendapatkan abi mereka. Tubuh Aliff Fahmi dipeluk seerat-eratnya.


Aliff Fahmi mengukir senyuman. Seupaya boleh dia cuba memaniskan wajah di hadapan anak-anak. "Abi okey. Afiq, Aniq dah makan?"


Serentak kanak-kanak itu mengangguk. Lengan mereka masih erat merangkul tubuh lelaki itu dengan kepala yang dilentokkan ke dadanya seperti tak mahu lepas lagi. Sayang benar mereka pada si abi…


Ima hanya memerhati. Tiada kata yang terucap untuk membayangkan hatinya yang dipuput hiba. Mahu saja air jernih yang sudah kering tadi mengalir lagi. Namun, pantas diseka.


"Aliff, kamu tak kenal siapa yang buat kamu ni?" Tanya Puan Gina, resah.


Aliff Fahmi menggeleng perlahan. "Entahlah. Tiba-tiba suruh saya berhentikan kereta tepi jalan. Saya pun tak tahulah apa salah yang saya dah buat. Hmmm… tak apalah mak. Saya reda."


Puan Gina mengurut dada. Tipulah kalau dia tidak merasa sayu…


"Aliff, kamu tak boleh diamkan diri. Betul ke kamu tak nak buat laporan apa-apa?"


"Humhum… selagi saya mampu bersabar, insya-Allah saya sabar."


Puan Gina menggeleng kesal. Kepala yang tidak gatal digaru-garunya. Sungguh dia memang tidak mengerti sikap menantunya ini…


Memang Aliff Fahmi pernah melalui ujian malah lebih hebat dari semua ini. Namun sampai satu tahap, tak terasakah dia hendak meledakkan 'beban-beban' yang menyiksa jiwanya itu?


Namun dia tahu, jauh di sudut hati lelaki itu mungkin sedang 'sesak' tetapi hanya dipendam-pendam… entah sampai bila.


"Abang, abang tak makan lagi kan? Ima turun dulu ye siapkan makanan." Ima baru teringat yang suaminya itu masih belum menjamah apa-apa lagi semenjak pulang dengan keadaan yang serba tak kena tadi.


"Eh tak payah. Abang boleh turun sendiri." Lelaki itu pula menghalang. Dia memang tidak suka menyusahkan orang. Selagi mampu, dia akan lakukan sendiri.


"Hummm… yalah. Ima turun siapkan makanan. Nanti Ima panggil." Ima beralah. Tahu benar dia perangai Aliff Fahmi.


Aliff Fahmi mengangguk. Ima mengorak langkah beriringan dengan Puan Gina keluar dari kamar itu menuju ke tingkat bawah. Tinggallah Afiq dan Aniq yang menemani abi mereka.


Sebaik pintu ditutup, matanya dilirikkan semula ke arah Afiq dan Aniq yang masih menyembakan wajah ke dadanya. "Afiq, Aniq…"


Kedua-dua kanak-kanak itu mengangkat kepala. Wajah mereka sugul.


Berkerut dahi Aliff Fahmi. "La… kenapa masam-masam ni? Senyumlah sikit."


"Abi… abi tak sakit kan?" Afiq bertanya soalan yang sama. Risau betul dia…


Aliff Fahmi mengerdipkan kelopak mata. Helaan nafas diambil. "Tak, sayang."


"Abi… ana… uhibb… buka!" Jerkah Aniq. Suara comelnya melafazkan ayat itu membuatkan Aliff Fahmi hanya mampu tersenyum. Dalam diam… hatinya sudah mengalirkan titisan hiba. Memang semenjak dua ini jiwanya selalu meruntun sebak… dia tidak pasti kenapa.


"Ana aidhan. Abi pun sayang Aniq." Kepala anak kecil itu didekatkan ke bibir lalu dihadiahkan ciuman lembut. Tak lama selepas itu, Afiq yang dah naik cemburu pula meminta ubun-ubunnya dihadiahkan ciuman.


"Dua-dua abi sayang!" Ucap Aliff Fahmi lalu tertawa kecil. Keletah anak-anaknya itu sedikit-sebanyak melunturkan hiba yang bersarang di fikirannya.


"Hummm… Afiq, Aniq. Dengar abi pesan ya? Afiq dengan Aniq kan orang Islam. Orang Islam mestilah sayang Allah dulu, baru boleh sayang yang lain. Afiq dengan Aniq nak syurga tak?" Aliff Fahmi 'mempromosi'. Anak-anak kecil itu mengangguk teruja. Mereka memang suka dengar abi mereka bercerita.


"Kalau nak syurga, Afiq dengan Aniq kenalah buat baik. Kalau orang buat jahat pun, kita tetap kena buat baik. Lepastu Afiq dengan Aniq kenalah ikut apa yang Allah suruh. Jangan tinggal solat tau! Insya-Allah nak, kalau Afiq dengan Aniq buat solat betul-betul, Afiq dengan Aniq mesti jadi baik." Sambung Aliff Fahmi lagi. Pesanan ringkas tetapi penuh hikmah disampaikan dengan harapan agar kedua-dua puteranya itu mengerti.


"Mestilah abi… Afiq takut kalau tak solat! Nanti kena patuk ular. Eiiiii… tak mahu!" Afiq membuat gaya menggigil. Dia memang takut bila dengar cerita pasal azab orang yang tinggalkan solat. Dia tak mahu kena patuk ular yang bernama As-Syujak Al-Aqra'! Dia tak mahu kena pukul dengan malaikat Munkar dan Nakir nanti! Dia takut!


Aliff Fahmi tersenyum. "Alhamdulillah. Lega abi dengar. Tapi kalau abi dah tak ada nanti, Afiq dengan Aniq jangan lupa pulak pesan tu. Ingat nak, Allah tak pernah mati. Dia sentiasa tengok kita."


"Abi nak pergi mana?" Wajah Afiq sedih kembali. Naluri kanak-kanaknya merasakan sesuatu…


Aliff Fahmi menggeleng. Wajahnya tetap tenang. "Tak adalah. Errr… katalah, kalau apa-apa jadi nanti, Afiq dengan Aniq jaga umi dengan nenek baik-baik ya? Tak lama lagi Afiq dengan Aniq nak dapat adik baru. Afiq dengan Aniq tolonglah umi sekali jaga adik ya? Jangan lupa ajar adik solat."


Serentak itu Afiq mencurahkan air mata. Tiba-tiba dia sedih. Tubuh abi didakap lagi. Lebat betul air matanya jatuh sampai basah baju si abi.


Aniq yang memerhati tanpa memahami mengikut saja perlakuan abangnya, Afiq.


Aliff Fahmi memejam rapat matanya. Hatinya sebak tetapi air mata pula tiada.


Ya Allah, sepertimana setiap kali selepas solat kupanjatkan doa itu, mohon KAU perkenanlah sepertimana maksudnya… sungguh hanya kepada-Mu aku bergantung harap.


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penambat hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang bertaqwa.


Al-Furqan:74



LELAKI bertubuh sasa dengan wajah bengis itu mengepal-ngepal buku limanya. Mukanya merah padam memandang lelaki-lelaki yang berdiri di hadapannya itu.


"Berapa kali aku cakap, aku nak kau buat dia mampus! Kau orang ni pengecut ke apa? Bila aku dah kata bunuh tu bunuhlah!" Jerkah lelaki itu.


Empat orang lelaki yang berdiri di hadapannya berpandangan.


"Tapi… hari tu memang tak sempatlah, bos. Dia lagi pantas!"


Lelaki bertubuh sasa itu merengus kasar. "Ah, sudahlah Said! Tak apa, aku maafkan kau kali ni sebab kau dah berjaya buat orang sekeliling dia bencikan dia! Tapi kali ni, aku tak nak kau gagal lagi. Anis mati sebab dia… jadi, dia pun kena mati!"


Keempat-empat mereka mengangguk. Kalau tak kerana dibayar, tak ada makna mereka mahu buat semua kerja ni!


"Errr… bos, Anis tu kan dah lama tak ada. Kenapa sampai sekarang bos dendam dengan laki dia tu?" Said memberanikan diri bertanya. Kerjanya selama ini adalah menyebarkan kisah buruk tentang Aliff Fahmi kepada orang sekelilingnya agar lelaki itu dibenci. Namun, itu semua berbayar. Tak pula dia tahu kenapa bosnya ini beria-ia benar mahu menuntut bela!


"Eh, kau jangan banyak tanya boleh tak? Hah… Anis tu sebenarnya milik aku. Aku masih boleh terima bila dia kahwin dengan jantan tu. Tapi bila aku tahu dia mati, aku tak kira! Darah mesti dibayar dengan darah! Lagipun, dia dah menghilang tiga tahun ke Mesir. Jadi saat ni memang dah lama aku tunggu!" Keras kata-kata lelaki itu menggambarkan keputusan nekadnya.


Said dan pengikut di belakangnya hanya mengangguk. Seperti yang dirancang, plan mereka hari ini mesti berjalan dengan lancar!


Lelaki itu tergelak sendiri. Anis… dulu aku terhegeh-hegeh kejar kau. Kau kahwin dengan jantan tu pun aku terima. Sekarang, kau dah mati, cinta aku yang tak pernah padam nilah yang buatkan aku sanggup buat apa saja demi kau! Jantan yang kau bangga-banggakan tu dah bahagia dengan perempuan lain!


Tak apa… jagalah!



KAWASAN ladang itu kelihatan tenang dan lapang. Beberapa orang pekerja yang berada di situ memulakan tugas mereka. Sementara dua buah kereta mewah tersebut sudah bersidai di tepi kawasan ladang sebesar sepuluh hektar itu dari tadi, menanti kelibat seseorang yang dinanti-nanti.


Lelaki bertubuh sasa itu keluar dari kereta sebaik terlihat seorang lelaki pertengahan lima puluh-an menaiki motosikal tiba di kawasan ladang itu.


"Errr… encik cari siapa?" Tercengang-cengang lelaki tua itu melihat lelaki-lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba datang menghampirinya.


Lelaki berwajah bengis itu merengus kasar. "Mana Aliff?"


Lelaki tua itu menggaru-garu kepala. "Aliff, errr… dia belum sampai lagi."


"Hurmmm… kau ni siapa?"


Sekali lagi lelaki tua itu kehairanan. Patutnya aku yang tanya dia! Sudahlah muncul macam mata-mata gelap! Tanya itu ini…


"Errr… saya ni Pak Sahak. Pak cik dia."


Lelaki bertubuh sasa itu berpandangan dengan anak buahnya di belakang.


"Eh, kalau boleh saya tahu, ada apa encik semua ni cari Aliff?" Tanya Pak Sahak. Dari tadi dia kehairanan dengan kehadiran lelaki-lelaki bertubuh sasa ini.


"Kau jangan sibuk!" Bentak lelaki berwajah bengis itu keras. Pak Sahak terkedu.



ALIFF Fahmi menapak keluar dari bilik air. Sesekali dia terbatuk kecil. Cuaca sejuk di luar betul-betul membuatkan tekaknya terasa kering.


"Sayang," panggilnya terhadap si isteri yang sedang leka membaca majalah di atas katil.


Ima mengukir senyuman. "Ya, bang?"


"Abang sayang Ima." Laju ayat itu meluncur di bibir Aliff Fahmi.


Ima terkedu. Hairan. Namun, dia tersenyum lebar selepas itu. "Ima pun sama. Ima sayangkan abang."


Aliff Fahmi mengangguk kecil. Senyuman manisnya masih tak kendur di bibir.


Sejadah dicapai lalu dibentang mengikut arah kiblat. Takbiratulihram pun kedengaran untuk solat Duhanya pada pagi itu.


Ima termangu sebentar. Senyumannya juga masih mekar. Syukur alhamdulillah semua telah kembali seperti biasa…


Matanya dilarikan semula ke arah pembacaan. Selepas ini, dia pula mahu dirikan solat Duha. Memang sengaja dia membiarkan Aliff Fahmi dulu yang melakukan ibadat itu memandangkan lelaki itu akan ke ladang selepas ini.


Perutnya mengeras tiba-tiba. Ima mengaduh kecil. Dahinya berkerut-kerut seketika. Perutnya yang sudah membesar hanya menunggu masa itu diusap-usap lembut. Nafas dalam dihela. Alunan zikir lantas membasahi bibirnya.


Rasanya tak lama lagi… berdebar juga hatinya menunggu saat kelahiran yang ketiga ini.


"Allahu…" takbir itu tersekat sebaliknya kedengaran tarikan nafas yang agak kuat.


Bunyi rebahnya tubuh itu ke lantai menyentak perasaannya.


"Abang Aliff!!!!!" Suasana di rumah itu bergempita dengan tempikan hiba.


Tubuh lelaki itu disambar. Air matanya deras menghujani ke segenap inci. Lelaki yang rebah ketika solat itu ditarik ke riba. Sejuk…. namun dia masih mengharapkan agar lelaki itu akan mencelikkan kembali matanya.


"Ya Allah, Aliff!!!" Suara wanita tua itu pula memecah suasana, menambah seribu hiba yang tiada tara. Sungguh hanya air mata yang galak mengalir berserta raungan duka yang bertingkah di dalam kamar itu ketika tubuh kaku lelaki itu masih berada di riba si isteri. Wajahnya tenang bak air di kali namun sayangnya mata itu tidak akan terbuka lagi…


Buat selama-lamanya…


"Abi!!! Abi!!! Bangun abi!!!" Afiq dan Aniq merengek hiba sebaik mendapat tahu yang abi mereka sudah tiada. Tubuh abi yang penuh dengan kasih-sayang seorang ayah itu digoncang-goncang kuat. Mereka harap sangat yang abi mereka akan bangun lagi, mereka harap sangat yang abi mereka akan hadiahkan ciuman ke dahi mereka lagi dan mereka harap sangat abi akan bercerita lagi… namun, itu semua hanya angan-angan.


Abi dah pergi tinggalkan mereka selama-lamanya!


Pintu bilik ditendang kasar. Namun, perhatian mereka tetap tidak beralih dari merangkul tubuh yang tetap kaku itu. Duka mereka tiada tara…


"Woho!!! Senang kerja kita! Dah mampus pun kau!" Ucap lelaki berwajah bengis itu.


Ima membeliakkan biji mata yang semakin basah. Wajah itu dipandangnya tajam.


Pak Sahak muncul di muka pintu. Hati tuanya juga tidak boleh menipu. Tubuh anak saudaranya yang sudah seperti anak sendiri itu diraih ke riba. Pipi yang kini sejuk itu ditampar-tampar. Mencurah-curah air jernih berendam di tubir mata lalu tumpah ke pipi insan yang bernama Aliff Fahmi…


"Aliff!!!" Teriakan itu menambah lagi pilu yang sekelip mata sudah mengubah keadaan.


"Abang!!! Bangun, bang! Abang… ah… ahhh… auhhh… ya Allah!!!" Ima tidak dapat menahan pedih yang tiba-tiba mencucuk rahimnya. Wajahnya merah padam. Tangan kaku si suami digenggam seerat-eratnya menahan sakit yang datang menyerang ketika hiba itu masih memenuhi suasana…



'Abang sayang Ima,'


Ungkapan itu berlegar-legar di fikirannya dengan keadaan dia sekarang yang bercampur-aduk. Antara hidup, mati dan kesedihan melampau yang masih membelenggu fikiran!


Namun, demi anak ini… dia perlu kuat. Allah…


"Sikit lagi, puan. Okey, tarik nafas."


Ima terasa di awang-awangan. Ya Allah, hanya kepada KAU aku berserah segalanya. Apa yang KAU takdirkan adalah sunnatullah. Aku akui kelemahan diri, aku insafi kekurangan ini, aku kesali kejahilan ini…


Aku reda ya Allah!


"Uwekkkkkkk!!!"


Lelahan panjang dilepaskan. Dadanya berombak laju. Dalam kepenatan dan kelelahan itu, sedaya upaya senyuman hambar lagi tawar diukir untuk zuriat yang telah selamat menjengah dunia.


Senyuman tawar itu diiringi pula dengan air mata yang mengalir lagi ketika zuriat yang baru berpindah ke alam baru itu diletakkan di atas perutnya.


Peluh yang masih menitik diseka oleh jururawat yang menjaga di tepi. Ya Allah… aku tidak akan menyesal walau bukan Abang Aliff yang mengelap titik peluh yang kukerah saat zuriat ini dilahirkan. Namun… maafkan umi, nak. Kali ini abimu telah dijemput oleh DIA lebih awal dari kita. Allah lebih menyayangi abimu dari kita, nak. Umi perlu akui itu.


Abang Aliff, anak kita dah lahir! Ketahuilah abang, walaupun anak ini tak pernah sempat melihat wajah tenang abang sebagai abinya, Ima akan tetap tanamkan rasa kasih-sayangnya terhadap abang seperti dia pernah menjadi sahabat abang. Ima akan kenalkan anak kita ini tentang abang yang terlalu istimewa bagi Ima, Afiq dan Aniq. Ima tahu, suatu ketika nanti, anak ini akan berjumpa juga dengan abinya di syurga…


Insya-Allah, bang. Ima akan selalu ingatkan anak-anak kita supaya menyebut nama abang di dalam doa mereka setiap kali lepas solat. Ima tak mahu mereka lupa yang mereka punya abi yang begitu istimewa…


Wajah bayi lelaki yang masih merah itu diamati dalam-dalam. Berserta linangan air mata yang semakin pecah tiada berhenti…



"KAMI minta maaf, puan."


Ungkapan maaf itu hanya diterima dengan hati yang kosong.


Namun, Abang Aliff selalu pesan… 'selagi terdaya, bersabarlah.'


Abang Aliff, Ima cuba lakukan apa yang Abang Aliff selalu lakukan. Dan sekarang… ya, Ima bersabar atas segala kehendak-Nya.


"Tak apalah. Abang Aliff dah lama maafkan semua." Balas Ima lembut. Sesekali dia menjeling ke arah bayi yang sedang lena tidur di atas tilam kecil di sebelahnya itu.


"Kami tak sangka yang Abang Said tu yang jadi dalang. Kami bersalah sangat pada arwah. Kami dah tuduh arwah bukan-bukan padahal arwah sebenarnya bersih dari semua tu." Salah seorang mak cik tersebut terus meluahkan rasa bersalahnya.


Ima mengeluh panjang. Abang Said… dia tahu Aliff Fahmi tidak pernah berdendam dengan lelaki itu. Walau teruk macam mana sekalipun batu api yang pernah lelaki itu lontarkan kepada penduduk di sini tentang arwah suaminya. Dan sekarang, dengarnya Abang Said sudah meringkuk dalam penjara bersama-sama rakan-rakan sekepalanya kerana didapati mengedar dadah.


Setelah meyakinkan bahawa tiada apa-apa yang perlu dikesalkan lagi, wanita-wanita tersebut beransur pulang.


Afiq muncul dari tingkat atas sambil membawa sehelai sejadah. Aniq pula mengekor di belakangnya. Ima hanya memerhati gelagat anak-anaknya itu yang kini sudah menjadi yatim…


Sayu. Namun, dia sudah reda!


"Afiq nak solat apa tu sayang?" Tanya Ima lembut.


"Afiq nak solat Duha, umi." Balas Afiq. Aniq hanya mengangguk.


Ima tersenyum. Puan Gina hanya memerhati dari dapur gelagat cucu-cucunya yang tak ubah seperti abi mereka semenjak dua ini. Wanita tua itu mengurut dada.


Ima tunduk. Solat Duha… solat yang meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak tergambar apa rasanya. Ketika mendirikan solat itulah, Abang Aliff rebah di atas sejadahnya tatkala mengangkat takbir untuk bangun rakaat yang kedua. Ima tahu, tiada apa yang patut dikesalkannya kerana… kembalinya insan yang istimewa baginya itu kepada penciptanya adalah dalam keadaan hatinya memang sudah pun diserahkan bulat-bulat kepada DIa.


Pergilah, Abang Aliff. Setelah apa yang menimpa abang selama ini, mungkin abang dah terlalu penat… lalu Allah mahu abang berehat pula dari kehidupan dunia yang sarat ujian ini. Mungkin Allah tak mahu jiwa abang terseksa lagi dengan kehidupan dunia ini walau wajah abang sentiasa tenang menghadapi semua itu. Pergilah kalau itu yang boleh membuatkan abang lebih bahagia…


Abang Aliff rupanya menghidap paru-paru berair.


Terkejut? Waktu itu dia tidak tahu hendak mengibaratkan bagaimana keadaannya tatkala mengetahui semua itu. Abang Aliff tidak pernah membuka cerita pasal penyakitnya… yang Ima tahu, lelaki itu sentiasa sihat dan tenang selalu.


Ima mengesat air mata yang ingin mengalir lagi. Senyumannya tidak dapat disembunyikan tatkala melihat Afiq menadah tangan diikuti Aniq yang mengaminkan doa abangnya di belakang. Sayup-sayup dia dapat mendengar Afiq tersedu-sedan dalam doanya.


Ya Allah, Afiq tahu Allah lebih sayangkan abi. Afiq tahu Allah akan jaga abi baik-baik kat sana. Afiq percaya pada Allah sebab abi selalu pesan yang kita memang selalu kena percaya Allah. Afiq percaya Allah letakkan abi kat syurga sebab abi orang baik. Abi kata orang baik, yang ikut apa Allah dan Rasulullah cakap mesti masuk syurga. Ya Allah, jadikanlah Afiq anak yang soleh. Afiq nak selalu doakan abi bahagia kat syurga. Ya Allah, Afiq nak mintak satu… harap Allah jadikanlah ye? Afiq nak jumpa abi balik kat syurga. Afiq nak umi, Aniq, adik baby dengan Afiq duduk syurga dengan abi sama-sama. Jadikanlah keluarga Afiq keluarga yang baik ye, ya Allah? Amin…"


Ima menekup dada. Jatuh lagi air matanya.


Insya-Allah nak, DIA akan kabulkan doamu!


Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).


Ali Imran:14































2 comments:

azhariahzuber said...

jenuh jugak baca cerpen softcopy ek..hehe

Izzah Haneefa said...

huhu.hardcopy nk kene print. print lk x de ink.