CERPEN: Hanya DIA

Reactions: 


HANYA DIA…


KUPANDANG sekeliling. Nah, sama saja situasinya! Aku menongkat kepala sambil mata kularikan ke satu sudut.


'Mesra betul dia orang…' hati kecilku berbisik. Tidak dapat kusangkal bahawa sedikit sebanyak terkutik rasa cemburu dalam hati ini. Ya, cemburu!


"Aku tension betul dengan dia! Janji itu ini, semua tak jadi." Eja datang marah-marah menyentakkan lamunanku. Lantas tumpuan aku berikan pada dia. Takut nanti dia terasa pulak bila aku sebagai sahabatnya buat ' don't know' aje. Aku faham sangat si Eja ni…


"Kenapa ni? Zaqwan buat hal lagi ke?" Aku membuat andaian dan selalunya memang tepat. Eja menjelingku tajam, macam nak cari gaduh aje mukanya.


Eja merengus kasar. "Entahlah, Wada. Lama-lama fed up pulak macam ni."


Aku tergelak kecil. Baru sekarang dia kata begitu? Namun, aku tak mahu menambah api. Layankan sajalah. "Buatlah keputusan yang terbaik, Eja. Kalau kehadiran dia cuma buat kau bengang macam ni… aku rasa kau faham maksud aku kan?"


Eja pula tergelak kecil. "Kau tak habis-habis… aku tahulah kau nak ceramah lagi. Heh, tolonglah Wada… zaman sekarang ni bukan macam zaman dulu tau! Kau tu open minded sikit boleh tak???"


Aku meneguk liur. Sedikit sebanyak, perasaanku tersentap. Kata-katanya tadi menghilangkan langsung mood aku untuk meneruskan 'agenda' tadi.


'Biarlah… kalau curah air ke daun keladi, sampai bila-bila pun dia takkan basah. Sia-sia aje!' hatiku yang sudah tergarit memprovok. Aku menghalakan semula tumpuan ke arah papan putih sambil tangan kananku rancak menyalin nota Sejarah yang belum sempat kusiapkan.


"Hummm… ye… memang aku terfikir nak clash dengan dia. Tapi…" Eja bagai mengerti yang aku makan hati dengan kata-katanya tadi. Mengaku juga dia tapi ayat di akhir itu tergantung pulak. Aku tetap buat tak tahu. Sakit hatiku masih berbekas.


"Hum, tak apalah." Eja mengeluarkan buku notanya. Dibiarkan saja ayatnya tergantung tak bernoktah… meninggalkan seribu satu persoalan dalam mindaku. Namun hendak bertanya, aku rasa tak perlu. Apa lagi kalau bukan 'sayang' alasannya?




"KAU dengan siapa sekarang?" Begitulah soalan pertama yang terpacul di chatbox sebaik selesai merisik khabar. Aku hanya tersenyum simpul. Dalam hati, kadang-kadang aku kesal juga… kenapa trend remaja sekarang, soal couple ni dah jadi macam budaya wajib?


Aku menarik nafas dalam. Ligat otakku memikir bagaimana untuk membalas. "Ramai. Dengan Allah, dengan sunnah Rasulullah, dengan umi abi, adik beradik… ramai kan? Tak larat aku nak sebut semua."


Butang enter kutekan. Tak sabar aku nak tahu reaksinya!


Lama juga aku tunggu. Sesaat, dua saat… dia pelik ke dengan jawapanku?


"Bukan tulah maksud aku… aih… takkan tak faham kut? Balak arh!!! Balak! Kau tak ada ke?" Mungkin dia geram agaknya… tak ada kiasan-kiasan lagi pertanyaannya. Tergelak kecil aku di hadapan skrin lappy kesayanganku ini.


"Balak??? Hurmm… kalau maksud kau kayu balak, rumah aku bukan hutan. Tapi kalau maksud kau 'bf'… honestly memang aku tak ada."


"Eleh… yele tu! Apalah… carilah sorang! Dapatle kau rasa 'nikmat' bercinta."


Aku hanya tersenyum lagi. Nikmat? Mungkin dari segi nafsu. Dari segi rohani… Allah, bertampuk dosa dan noda! Dosa yang ada sekarang pun tak tertanggung… nak cari lagi?


Lagipun, nikmat tu hanya sementara. Lama-lama, akan pudar jugak. Jadi, biarlah kita nikmati nikmat yang hakiki… iaitu cintaNya. Teringat aku pada sebait puisi:


Cinta bunga, bunga akan layu…


Cinta manusia, manusia akan mati…


Cinta ALLAH, dia jualah yang kekal abadi…


Namun sebagai remaja, aku tak dapat nafikan terkadang kulihat dorongan nafsu itu satu yang cukup indah… ingin sekali aku merasa bagaimana adanya insan yang bernama lelaki yang disebut sebagai kekasih berada di sampingku, berjalan berdua-duaan, bergurau-senda, berkongsi rasa, pujuk-memujuk…


Astaghfirullahalazim… aku kembali ke alam nyata semula!


"Tak apalah, Zie. Aku rela tak rasa nikmat tu daripada aku dapat murka ALLAH."


Butang empat segi itu kutekan lagi.


"Sudahlah kau! Dari dulu lagi tak habis nak berceramahnye!" Begitu Zie membalas.


Aku mengurut dada. Salah ke aku memperingatkan? Sedangkan dalam hadis nabi ada menyebut bahawa mencegah kemungkaran itu hendaklah melalui tangan, jika tak mampu, dengan hati tetapi jika tak mampu juga dengan lidah. Dan dengan lidah itulah selemah-lemah iman…


Aku sedang berusaha untuk mencegah dengan lidah kerana aku tahu dengan tangan memang aku tak mampu! Tapi aku juga tak mahu digelar selemah-lemah iman kerana hanya membenci di dalam hati!


Ya Allah… besar sungguh ujian ini!


Akhirnya Zie, temanku sewaktu di sekolah lama dulu menutup perbualan kami di laman sesawang Facebook pada petang itu dengan meminta diri. Mungkin dia bosan dengan aku yang 'tak habis-habis nak berceramah' katanya.




MUHAMMAD MUNAWWIR, tak tahulah apa rasa yang membelenggu ini… aku mengaku yang hatiku sudah terpaut sejak pertama kali kami dipertemukan di meja Ustazah Saudah untuk sesi latihan bagi pertandingan tilawah al-quran yang akan kami sertai sebulan lagi.


Dan… ya Allah, lindungilah aku dari segala penyakit hati!


Alunan surah Al-Mukiminun berserta tarannum Rast berlagu indah di bibir Muhammad Munawwir. Aku terkedu. Debaran jantungku semakin laju… apa rasa ini ya Allah?


"Bagus. Dah okey sangat, Munawwir. Awak cuma perlu berlatih sikit lagi je. Ha, Mawaddah, baca pulak. Guna tarannum Bayati." Fikiranku yang sudah terbang ke mana kembali lagi. Tergugup-gagap aku nak bersuara namun pantas aku cover dengan sengihan panjang. Kulihat Munawwir juga tersenyum-senyum simpul di sebelah Ustazah Saudah. Naik sebal muka aku. Dia perasan ke aku termenung tadi?


Dengan jantung yang berlari seperti tak ada penghujung, aku melafazkan basmalah.


Surah An-Nur pun berlagu di bibirku.


"Mawaddah, kenapa ni? Awak masuk pertandingan tilawah, bukan hafazan. Jadi, baca dengan kaedah tartil, bukan tadwir." Ustazah Saudah menegur agak tinggi nadanya namun masih kedengaran tenang. Aku tersentak. Sebal lagi mukaku… ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini!


Dan, dengan getaran yang kuusahakan supaya tidak jelas kedengaran, kualunkan lagi surah annur seperti yang diminta.




"UMI, salah ke kita bercinta?" Pertanyaanku mendapat senyuman sumbing dari umi. Aku tak pasti apa yang berlegar di fikiran umi. Tapi kalau umi fikir yang aku memang sudah jatuh cinta… ya… mungkin benar.


"Kenapa Wada? Wada… dah jatuh cinta ke?" Teka umi. Buku yang sedang ditatapnya diletakkan di atas meja kopi di hadapan.


Aku meneguk liur. Nak cerita ke tak?


Umi kuhampiri. Dengan keluhan panjang aku melabuhkan punggung di sebelah umi.


"Errr… taklah umi. Saja je tanya sebab kat sekolah ramai yang dah couple." Bohongku. Sebenarnya sehingga kini hatiku masih menafikan kehadiran cinta itu… apatah lagi kalau nak mengaku depan umi!


Umi terangguk-angguk. Wajahnya masih tenang. "Cinta tu tak salah, Wada. Cuma kena betul pada cara, barulah ada berkat."


"Apa cara tu umi?"


"Islam itu agama fitrah. Dan salah satu fitrah manusia itu ialah cinta. Islam tak halang kita bercinta… tapi, mesti pada cara yang betul. Bernikah itulah caranya, Wada." Ujar umi. Aku terpempan sebentar. Nikah? Ya Allah… mana mungkin dalam usia aku yang baru menjangkau enam belas tahun ni nak bernikah???


"Tapi umi… kalau pelajar macam Wada ni nak jatuh cinta, tak boleh ke?" Aku bertanya polos. Sedikit sebanyak mungkin akan menimbulkan syak dalam hati umi. Namun, aku tak boleh berkias lagi.


Umi mengambil nafas dalam. "Wada, Wada pasti ke perasaan yang datang tu ialah cinta? Atau… nafsu?"


Aku meneguk liur. Errr… aku sendiri tak pasti.


Umi tergelak kecil. "Cinta itu suci, Wada. Benda suci mestinya akan dijaga elok-elok. Kalau Wada kata kawan-kawan couple tu kerana cinta, buktikan pada umi, berapa ramai yang mampu jaga hubungan tu? Umi percaya ramai yang terputus tengah jalan, kan? Sebab apa, cinta dalam hati dia orang tu hanya berdasarkan nafsu remaja. Nafsu remaja yang sentiasa ingin tahu. Nafsu ni nikmat dia tak lama, Wada. Tapi kesannya berpanjangan… kalau adalah pun yang mampu kekal sampai kahwin tu, alhamdulillah. Tapi apa yang kita cari dalam hidup ni ialah keberkatan ALLAH. Berkat ke cinta kalau sebelum kahwin tu dah berhubungan atau couple? Padahal dalam Islam, yang menghalalkan cinta antara lelaki dan perempuan hanyalah ikatan pernikahan. Jadi, biarlah dari awal perhubungan kita dengan dia tak perlu ada sekelumit pun maksiat. Biarlah dari awal lagi hubungan kita tu dah dapat berkat. Insya-Allah, dari situ kemanisan bercinta yang sebenar akan kita dapat dan mungkin sampai ke syurga." Umi memberi penerangan panjang lebar. Hatiku bagai disentap tiba-tiba. Membulat mataku. Dadaku berombak kencang lagi…


Ya Allah… berdosanya aku selama ini! Astaghfirullahalazim…


Benar kata umi. Ini bukan cinta… ini nafsu! Kerana… ya Allah… selama ini aku selalu terbayangkan betapa indahnya jika boleh berdua-duaan dengan kekasih, berjalan berpegangan tangan dan berkongsi masalah bersama-sama… apakah itu bukan dorongan nafsu?


Kerana cinta, tak semestinya perlu dizahirkan dengan perbuatan! Cinta itu perasaan… kita tidak akan pernah dapat 'zahirkan' cinta yang sebenar. Ianya tersembunyi dan hanya DIA yang mengetahui sejauh mana cinta itu…


Baru kusedar kini. Ampunkan aku ya Allah!


"Wada, Allah dah suruh kita tundukkan pandangan. Sebab apa? Sebab Allah tak nak mata kita ni yang jadi punca segalanya. Macam orang kata, cinta pandang pertama. Sekali pandang, ia akan meresap ke dalam hati dan terpulanglah pada iman sama ada nak tafsirkan dalam bentuk cinta atau nafsu! Insya-Allah Wada, kalau kita ikut apa yang Allah dah aturkan, kita akan selamat." Tokok umi lagi. Aku tidak mampu membalas. Dapat kurasakan akan ada air hangat yang mengalir lepas ini. Namun, kuusaha juga menahan air jernih ini mengalir. Aku tak mahu menangis depan umi. Biarlah air mata ini kusimpan selepas ini untuk bertaubat kepada-Nya!


"Ingat hadis nabi ni Wada, sesiapa yang bercinta lalu mampu menahan diri dari perbuatan yang dilarang, serta dapat menyembunyikan perasaannya, kemudian dia mati, maka dia mati syahid." Tukas umi. Aku mengangkat kepala. Lagi sekali aku tersentap. Benarkah apa yang aku dengar ini?


"Mati… mati syahid umi?"


Umi mengangguk. "Ye, Wada. Kalau dalam hati dia tengah tanggung rasa cinta, tapi dia cuba tahan dan lepastu dia mati, dia mati syahid. Besar kan ganjaran tu?"


Akhirnya gugur juga manik jernih dari tubir mata dan mengalir tenang ke pipi.




BEBERAPA hari saja lagi aku akan menyertai pertandingan tilawah Al-Quran peringkat zon. Dan… alhamdulillah, sungguh aku dapat merasakan ketenangan yang tak terhingga kini. Rupanya bila hati ini tak terikat dengan cinta nafsu akan rasa lebih lapang… ditambah lagi dengan usahaku untuk mencintai ALLAH, raja segala cinta… sungguh tenteram. Betul, tak ada lain yang layak dicintai sepenuh hati kecuali Allah dan selepas itu, Rasulullah S.A.W.


Kerana… baru kusedar kini, cinta Allah kepada hamba-Nya terlalu besar! Bila aku hampir terjerumus ke dalam perasaan yang kupasti ianya nafsu itu, Allah cepat-cepat menyedarkan aku dengan 'tazkirah' pendek umi. Aku tahu, Allah tak mahu lihat aku berdosa… terima kasih ya Allah!


Ingat lagi aku pada cerita ustazah. Ustazah kata orang Bani Israel dulu pernah dibuang ke tempat yang gersang selama empat puluh tahun kerana ingkar kepada Allah. Namun Allah tetap mengurniakan mereka dengan Manna dan Salwa iaitu sejenis makanan berupa manisan dan burung puyuh daripada langit kepada mereka. Bukankah itu juga menunjukkan yang DIA terlalu mencintai dan menyayangi hamba-Nya?


Benarlah… Allah ar-rahim!


"Alhamdulillah, bagus. Dah okey bacaan kamu. Buat practice lagi. Si Munawwir pun dah okey. Harap-harap berjayalah nanti." Ustazah Saudah menyuarakan rasa puas hatinya. Aku hanya tersenyum. Lapang hatiku kini tiap kali nama Munawwir disebut, tiada apa-apa rasa lagi yang bertampuk dalam hati ni.


Nampaknya, usaha aku hendak menjauhi Munawwir berhasil! Aku selalu meminta ustazah agar mengadakan latihan berasingan antara kami. Aku tak mahu duduk setentang lagi dengan dia demi menjaga hati ini. Insya-Allah, Allah akan mengambil kira usahaku yang tak seberapa ini disamping aku cuba menundukkan pandangan… syukur, jiwaku memang lapang.


Aku berjalan menyusuri koridor untuk kembali ke kelas. Di pertengahan jalan, aku terserempak dengan Munawwir. Dia pun tunduk saja. Alhamdulillah sangat! Memang dari awal lagi aku perasan yang Munawwir ni memang macam tak ada apa-apa perasaan. Huhu… aku aje yang melebih sampai 'terpaut' kejap. Memang aku tak nafikan, Munawwir bukan macam lelaki-lelaki lain. Dia bercakap dengan perempuan pun tunduk. Aku dengar, dulu dia sekolah tahfiz. Tapi dah hafaz tiga puluh juzuk Al-Quran dalam masa tiga tahun. Jadi, mak ayah dia pindahkanlah dia ke sekolah sini. Entahlah… menurut hatiku, lebih baik dia terus duduk di maahad sana. Duduk di sekolah biasa ni, faham-faham ajelah fiil pelajarnya. Aku pasti, suasana di sini bagai langit dan bumi dari sekolah maahadnya!


Sepanjang sesi pembelajaran di kelas, aku tak senang duduk pula. Sebab… Eja. Aku tak tahu kenapa Eja pun macam tak senang duduk dari tadi. Nak tanya, cikgu pula mengajar di depan.


Loceng pun berbunyi. Eja yang sedang menekup mukanya ke meja seperti orang tidur itu kugoncang perlahan bahunya. "Eja,"


Eja mengangkat kepala. Merah matanya seperti orang baru menangis. Terkejut aku yang melihat. "Kenapa ni, Eja? Kau menangis?"


Eja geleng kepala. Tisu di tangannya dihalakan ke hidung. Air matanya mengalir lagi.


Aku jadi tidak enak. Belakang Eja kuusap-usap lembut. Ingin benar aku tahu ceritanya…


"Zaqwan… dia… dia putus dengan aku."


Aku menghela nafas dalam. Aku cuba tersenyum semanis yang boleh. Sudah kujangka…


"Sabarlah, Ja. Kau tahu tak apa maksudnya ni? Maksudnya Allah sayangkan kau. DIA tak nak kau terus hanyut dalam nafsu."


Lagi kuat esakan Eja. Terkedu aku seketika. Salahkah apa yang aku cakap tadi?


Eja geleng kepala lagi. "Dah terlambat, Wada. Aku… aku… aduh…" Eja tidak dapat menyambung ayatnya. Tiba-tiba dia mengaduh kesakitan. Terpinga-pinga aku dibuatnya.


"Kenapa Eja?" Tanyaku buru-buru.


"Errr… tak ada apa-apalah. Aku pergi tandas kejap." Eja bingkas bangun lalu bergegas keluar dari kelas. Mahu aku berlari mengekornya namun firasatku pantas menghalang.


Apa kena agaknya?




PERJALANAN pulangku ke rumah tidak seperti biasa. Biasanya aku pulang bersama-sama Eja. Tetapi, Eja lebih terburu-buru keluar dahulu sebaik loceng tamat sesi pembelajaran berbunyi. Dari tadi, aku belum sempat bertanya lagi kenapa dengan perangai peliknya itu.


Tiba di pintu pagar, dalam ramai-ramai orang yang berasakan untuk keluar, aku dapat lihat sekumpulan pelajar lelaki bertenggek di tepi tembok. Itu geng Zaqwan. Lelaki itu pun ada sekali. Dapat kulihat ada keresahan pada wajahnya. Ketika melintasi mereka, sempat aku mencuri-curi dengar perbualannya dengan geng-gengnya itu.


"Kau betul ni, Wan?"


"Iye… takkan aku nak main-main kut! Dahlah… kau orang senyap-senyap sudah."


Tiada apa yang menarik perhatianku. Aku meneruskan langkah. Sambil jalan, aku mengalun zikir. Aku teringat pula yang Allah sentiasa bersama-sama orang yang mengingati-Nya. Jadi, aku tak nak lepaskan peluang itu. Aku mahu Allah sentiasa dengan aku!


"Tolong!"


Langkahku terhenti. Kupandang sekeliling. Semak dan belukar… dari mana datangnya suara itu?


"Tolong!" Lagi sekali suara itu menjengah pendengaran. Aku cuba mengamati suara itu, namun… entah. Tapi yang pastinya, suara itu datang dari semak yang berdekatan. Dengan lafaz bismillah aku berlari anak menuju ke situ. Aku pasti, aku tak silap dengar!


"Ya Allah, Eja!!!" Bergema ruang udara dengan tempikanku yang sekarang ini betul-betul terperanjat. Kakiku terpaku di situ melihat…. Eja yang sedang terduduk ke tanah mengerang kesakitan. Serta… darah yang merembes di kaki dan kainnya.


Kaget. Liur ini pahit benar untuk ditelan!


"Wada… tolong aku… sakit!" Rintih Eja yang sudah dibasahi peluh dalam kesakitan. Aku masih terpaku di situ. Namun, aku cepat menyedarkan diri. Eja kudapati. Ingin saja aku meraung di situ… tetapi aku masih kaget benar.


Kelam-kabut aku seketika. "Ya Allah… Eja… kenapa dengan kau ni???" Ada air mata yang mengiringi jerkahanku. Aku tahu, tak sepatutnya soalan itu dilontarkan di saat cemas begini. Namun, aku tak dapat menerima hakikat bila aku baru perasan yang… perut Eja sudah membulat!


Ya Allah…


"Aku… aku minta maaf Wada. Aku memang berdosa… Argghhh… tolong aku, Wada. Aku tak tahan! Sakit!" Eja merintih lagi. Aku menggeleng kepala kesal dengan air mata yang semakin deras mengalir. Aku bingung benar sekarang ini…


Mata Eja sekejap terbuka dan tertutup. Sesekali dia mengerang. Aku masih kaku di situ dengan air mata. Aku tahu Eja sedang menanggung kesakitan yang tiada tara… namun, itu salahnya sendiri!


"Eja, dulu kau marahkan aku bila aku tegur kau… sekarang, aku tak boleh tolong apa-apa. Kau sendiri yang cari semua ni…" Entah bagaimana, tergamak pula aku menuturkan ayat itu. Kedengarannya kejam… tetapi, itu sajalah yang mampu terluah di bibirku sekarang ini. Hatiku masih berbekas dengan herdikannya dahulu setiap kali aku cuba memperingatkannya.


"Wada… aku… minta maaf! Arggghhhhh! Tolong, Wada!" Eja sudah tidak tertahan lagi. Peluh menitik-nitik di setiap inci tubuhnya. Namun, rasa simpatiku sebagai seorang sahabat masih ada… kepala Eja kuletakkan di atas riba. Kuusap-usap kepala itu.


"Ingat Allah, Eja. Allah…"


"Arggghhhh!!!" Eja mengerang kesakitan lagi. Lebih kuat dari tadi. Dan…


Kedengaran tangisan bayi bergema di ruang udara.




"MACAM mana dengan Eja, mak cik?" Soalku penuh mengharap. Sungguh aku mahu jawapan yang keluar dari wanita yang digelar Mak Leha ini memberikan kelainan dari sebelumnya.


Mak Leha tunduk. Sugul wajahnya. "Macam tulah, Wada. Tak berubah."


Aku ikut tunduk. Kesayuan menjengah lagi. Aku tak tahu sampai bila Wada harus begini…


Mak Leha mengesat air mata. Semenjak 'peristiwa' itu, entah kenapa dia merasakan hidup ini terlalu… entahlah. Sukar hendak diungkap perasaan ini.


Anak perempuan tunggal yang menjadi harapannya telah rosak disebabkan nafsu!


Hiba benar hati tuanya. Suami pula sudah tiada…


Ya Allah, mahu saja dia pitam ketika itu. Tak sangka Eja berjaya menyembunyikan kehamilannya senyap-senyap sehinggalah anak hasil hubungannya dengan bekas teman lelakinya itu lahir… tak tahu nak digambarkan rasanya tatkala anak gadisnya itu membawa bayi yang masih merah berhadapan dengannya berserta linangan air jernih yang deras…


Aku melangkah perlahan ke bilik Eja setelah mendapat keizinan Mak Leha. Langsir bilik itu kuselak, dari jauh dapat kulihat kelibat seorang perempuan sedang termenung ke luar tingkap.


Jadi serba-salah aku seketika. "Eja,"


Eja masih kaku memandang ke luar tingkap. Aku menghela nafas dalam. "Afif demam. Dia rindukan maknya kut."


Wajah Eja berubah. Cemberut. Namun kata-kataku tadi langsung tidak membuatkan Eja memusingkan wajahnya.


Aku mengeluh perlahan. "Eja, bayi tu tak salah. Jangan buat dia macam ni, Eja. Dia perlukan kau."


Eja memusing tubuh. Terjegil biji matanya membuatkan aku berundur beberapa tapak ke belakang. Kecut hatiku. Sedih juga… sahabat yang kini sudah berubah watak tidak seperti dulu.


Benarlah, nikmat nafsu hanya sementara. Kesannya yang berpanjangan. Silap-silap, orang sekeliling yang kena tempias. Afif Azri, bayi suci yang hanya lahir dari perhubungan yang tidak suci itu tidak berdosa… tetapi apa salahnya sampai dia dibela oleh keluarga angkat sedangkan ibunya masih di sini?


"Aku tak ada anak!!! Aku tak suka anak!!! Aku benci dia!!!" Tempik Eja. Aku menggeleng sayu. Aku tidak tahu hendak berbuat apa lagi dengan emosi Eja yang masih belum stabil ini…


Eja sudah berhenti sekolah. Setelah pihak sekolah tahu tentang 'peristiwa' itu, dia terus dibuang. Aku terkedu tidak berbunyi waktu itu… aku hilang seorang sahabat yang kukenal semenjak tadika lagi. Sedih!


Eja, kalaulah kau sedar yang dari dulu lagi cinta Allah itu selalu 'mengejar' kau… kau takkan jadi begini! Tapi sayang, setiap kali cinta-Nya menghampiri, kau pula larikan diri. Bukan niat aku nak menghukum, tetapi… ini memang setimpal dengan apa yang kau lakukan. Terimalah… inilah hasil dari apa yang kau nakkan sangat dulu! Sekarang, Allah dah bagi pun.


Jangan sesekali kata yang Allah tak pernah menyalurkan cinta-Nya kepada kau! Ini semua silap kau sendiri… puas aku ingatkan kau, tapi herdikan yang aku terima. Tak apalah, aku maafkan segalanya.


"Mohonlah keampunan Allah, Eja. Cinta DIA tak pernah terpadam untuk hamba yang ingin mencintai-Nya."


Eja terduduk. Lemah lututnya. Aku tak pasti apa yang bermain di fikirannya tika ini.


Aku memberanikan diri melabuhkan punggung di sebelahnya. Bahu Eja kusapa lembut. "Eja, aku… aku rindukan kau yang dulu."


Eja hanya membatu. Aku menekup dahi.




MOTOSIKAL yang kubawa tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Mengeluh panjang aku dibuatnya. Ya Allah, patutlah… minyak habis!


Aduh, baru aku ingat, elaun bulanan yang abi berikan dah kering! Sebab bulan ni aku banyak pakai duit nak beli buku itu ini… hai… nak minta dengan abi, kesian pulak.


Nak tak nak, terpaksalah aku tuntun motor ni sampai ke rumah. Nasib baik tinggal satu kilometer lagi. Tak apa, jalanlah sikit.


Aku berzikir sepanjang perjalanan. Panas terik tak aku hiraukan. Biarlah… neraka lagi panas!


Vrooooonmmmm!!!


Bunyi deruan motosikal menyentakkan perasaanku. Membulat mataku memandang ke arah sekumpulan pemuda sedang menunggang motosikal mereka di atas jalan besar dengan kelajuan yang betul-betul… mengerikan!


"Wohhho!!!" Jeritan itu menggemakan lagi ruang udara. Motosikal Yamaha itu rancak ke hadapan menandingi rakan-rakannya di belakang. Ternganga aku memerhati dari jauh. Namun, satu yang tidak kusangka-sangkakan terjadi…


"Ahhhhh!!!" Tempikanku pula bergema sebaik motosikal itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar seseorang…


Bam!!!


Letupan itu hanya lima puluh meter dari pandanganku.


Terpana. Darahku menyelinap laju. Beberapa orang mula mengerumuni kawasan itu.


"Zaqwan!" Lututku longlai melihat lelaki yang bertopi keledar itu… sudah tidak bernyawa. Mahu saja aku pitam di situ…


Lebih aku rasakan hati ini pedih benar melihat lelaki yang tersembam ke tanah itu sudah terkatup rapat matanya.


"Munawwir!!!" Tempikanku bergema. Mengalir lagi air jernih ini… deras…


Ya Allah, aku tidak pasti apa perasaan ini tetapi… aku tidak dapat menafikan kehadiran'nya'. Sungguh aku minta maaf ya Allah! Dalam aku bersembunyi tiap hari dari 'perasaan' ini, sebenarnya ada 'cinta' yang telah KAU kirimkan senyap-senyap dalam hati ini.


Muhammad Munawwir, raut wajahmu tersenyum ketenangan saat kau dibaringkan serta alunan Yasin bergema di setiap ruang. Aku tahu itu petanda KAU berbahagia. Pergilah… sesungguhnya cinta kurniaan Allah kepada hatiku ini terhadapmu bukanlah cinta nafsu yang kusangkakan. Aku tidak menyedari langsung bahawa DIA telah menitipkan perasaan ini sehinggalah… DIA menjemput kau kembali. Pergilah… semoga cinta-Nya mengiringimu di alam sana. Aku tahu DIA tidak akan mensia-siakan hamba-Nya…


Kerana, hanya DIAlah pemberi cinta yang sebenar-benarnya…




Sesungguhnya ALLAH S.W.T berfirman pada hari kiamat kelak, "mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku-naungi mereka di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-Ku."


(Sahih Muslim)




15.3.2011.































4 comments:

MalamDecipher said...

cerpen yang sangat memberi kesan.... saya suka ^__^

Izzah Haneefa said...

Huhu.shukran:)

miza said...

munawwir dengan zaqwan bkan org yg same kan?

Izzah Haneefa said...

Bukan.Munawwir org lain. dia kena langgar dgn zaqwan.